Thursday, January 22, 2015

Peluang bawa pulang Sirul Azhar 
tipis dan ambil masa lama..


Kerajaan hanya mempunyai satu pilihan untuk membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar ke negara ini iaitu melalui permohonan kepada mahkamah Australia.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, namun, keberangkalian usaha tersebut untuk berjaya dilihat tipis selain akan memakan masa yang lama.

Katanya, langkah membawa kes itu ke mahkamah Australia adalah bagi mengkaji sama ada wujud pengecualian terhadap prinsip asas undang-undang negara tersebut yang tidak membenarkan hukuman mati terhadap pesalah.




“Ada kerumitan dalam kes Sirul Azhar ini. Kita tahu bahawa Australia mempunyai sekatan ekstradisi terhadap Sirul Azhar kerana undang-undang mereka melarang perintah ekstradisi jika pesalah terlibat dikenakan hukuman mati.

“Oleh itu, proses ekstradisi akan menjadi lebih sukar. Permohonan perlu dibuat kepada kerajaan Australia. Jika gagal, kerajaan akan membawa perkara ini ke mahkamah Australia. Jika gagal di mahkamah, maka usaha secara diplomatik akan berterusan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pendirian Australia yang tidak akan meluluskan permohonan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang Sirul Azhar Sirul Azhar yang disabitkan atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu baru-baru ini.

Akhbar Sydney Morning He­rald melaporkan, Jabatan Peguam Negara Australia tidak akan memenuhi permohonan Malaysia kerana ia melibatkan hukuman mati.

Permohonan itu hanya boleh dilakukan sekiranya Malaysia berjanji untuk tidak menjalankan hukuman mati ke atas Sirul Azhar.

Sementara itu, Nik Ahmad Kamal menjelaskan, sekiranya rundingan diplomatik berjaya dan Sirul Azhar dibenarkan untuk dibawa pulang sekalipun, kemungkinan dia disyaratkan untuk tidak boleh dihukum mati di Malaysia.

Kata beliau, perkara tersebut akan merumitkan kerana Mahkamah Persekutuan telah mendapati Sirul Azhar melakukan kesalahan bunuh sekali gus dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

“Hubungan diplomatik dengan Australia amat baik setelah kes kehilangan MH370. Kes Sirul Azhar mungkin akan membawa isu baharu dalam hubungan diplomatik kedua negara,” katanya.

Sementara itu, penganalisis undang-undang, Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, setakat ini Malaysia hanya boleh membuat permohonan untuk membawa pulang Sirul Azhar memandangkan negara tersebut mengamalkan polisi menentang hukuman bunuh.

Perkara itu kata beliau, amat jelas melalui Perjanjian Antara Kerajaan Malaysia dan Australia Berhubung Ekstradisi yang ditandatangani pada 15 November 2005.

“Perjanjian yang dipersetujui oleh kerajaan Malaysia dan Australia ini mengandungi tanggungjawab dan pengecualian serta prosedur berkaitan ekstradisi kedua-dua buah negara,” katanya lapor Utusan



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails