Monday, January 19, 2015

Nota dari Marhaen Mangsa Banjir buat Perdana Menteri..


Salam 1Malaysia Datuk Seri,

Kami hanya sekumpulan manusia yang menyatu hati untuk membantu serta menyelami hati golongan marhaen yang dilanda musibah di Kelantan. Airmata kami sudah kering. Segala dana dan daya sudah habis kami gembeling. Usaha terakhir kami ialah doa ke haderat Allah dan seruan kepada sesama manusia.

Sedia dimaklumi, Kelantan ialah salah sebuah negeri di dalam Malaysia yang mana Datuk Seri adalah Perdana Menterinya.

Sebenarnya kami ingin mengulas tentang bantuan pinjaman Bank Rakyat yang Datuk Seri umumkan baru-baru ini. Tetapi sebelum itu, suka kami bukakan cerita ini dengan satu kronologi yang boleh jadi panjang untuk mereka yang malas membaca.



Kami optimis yang Datuk Seri mempunyai pertimbangan yang sangat wajar semasa kemuncak bencana berlaku. Kami yakin Datuk Seri telah mengutamakan kepentingan negara, berbincang semasa dalam pusingan golf bersama Presiden Obama. Kami puji Datuk Seri kerana terus bergegas pulang ke Malaysia melalui Kelantan untuk melihat sendiri bencana yang memuncak. Kami tidak mahu panjangkan isu itu.

Kami pernah bertemu sendiri dengan YAB Ustaz Datuk Menteri Besar Kelantan beberapa minggu lalu. Beliau akui Kelantan negeri yang tidak mampu membina lebuhraya sendiri dan sewajarnya ia dilihat sebagai penanda aras kemampuan sebuah kerajaan negeri.

Walaupun ramai teknokrat dari anak-anak watan Kelantan yang mampu membina lebuhraya di negeri-negeri lain, tetapi belanjawan tidak mengizinkan untuk penaiktarafan infrastruktur negeri itu.

Mereka juga berusaha dengan mewujudkan projek lebuhraya wakaf namun akhirnya terbengkalai disebabkan kemampuan rakyat tempatan yang tidak sebenarnya mewah seperti di negeri-negeri lain di Malaysia.

Semasa bencana melanda negeri ini, kami berterima kasih kerana Datuk Seri telah mengumumkan ratusan juta RM sebagai bantuan kepada pembangunan semula negeri Kelantan yang seperti baru diserang stroke lalu kini lumpuh. Pembangunan semula rakyat dan negeri juga akan memakan masa.

Berapa lamakah lagi anak-anak kecil dan bayi perlu bersejuk atau dipanggang di dalam khemah? Berapa lamakah lagi mereka perlu menjadi pameran di tepi-tepi jalan menanti bantuan awam yang masih belum cukup-cukup untuk membina semula rumah mereka? Sampai bilakah lagi kehidupan marhaen itu harus berada dalam lingkungan kasihan sedangkan kasih dari kerajaan pusat tidak berlaku.

Datuk Seri pergilah sendiri memandu kenderaan biasa menyusuri denai-denai kecil kampungan di Manik Urai, Pahi, Kampung Tualang, Kuala Krai, juga Dabong, Gua Musang dan lainnya.

Berhentilah di kawasan tertentu untuk berjalan kaki menyusuri lorong-lorong di antara rumah-rumah papan yang dibina di kawasan yang tidak bergeran dan tidak memiliki hakmilik yang sah. Ada juga yang memiliki geran tetapi berhimpitan sehingga 5-10 buah rumah di atas suku ekar tanah yang sempit.

Ketika itu, Datuk Seri akan terasa terpijak lopak banjir yang sudah surut dan akhirnya mengetahui lopak itu ialah lubang najis yang dikongsi 5 buah rumah. Di keliling lopak itu jugalah anak-anak kampung bermain-main.

Cuba Datuk Seri berjalan dan cubit sahaja papan rumah-rumah usang itu. Ia akan terkopek dan boleh diramas menjadi habuk dan debu kerana reput dimakan anai-anai. Pernahkah Datuk Seri bayangkan rumah-rumah yang hanya dilubangkan lantainya sebagai laluan untuk mereka buang air besar dan kecil?

Kami sendiri pernah berjalan melaluinya.
Kami sendiri pernah lihatnya
Kami sendiri pernah menghidunya,

Kami sendiri kurang percaya KEMISKINAN BEGITU MASIH ADA DI MALAYSIA negara maju dengan lapangan terbang tambang murahnya sahaja berharga hampir RM5 Billion. Kami hampir tidak percaya kemiskinan begitu masih mencengkam masyarakat di dalam negara yang ketirisan belanjawannya sahaja mampu membangunkan beberapa buah negeri miskin untuk menjadi sekaya negeri Selangor.

Kami tidak tahu samada mahu menangis ataupun mahu ketawa semasa Datuk Seri dengan bangganya mengumumkan "BANTUAN" pinjaman peribadi melalui BANK RAKYAT dengan kadar keuntungan SERENDAH 3.9% .

Mungkin Datuk Seri tak pernah guna khidmat pinjaman bank dan kurang jelas bahawa 3.9% faedah itu satu penambahan yang besar. Rakyat pula masih mempersoalkan tentang dana bencana negara dan juga fungsi baitulmal.

Tahukah Datuk Seri ramai mangsa bencana bekerja dengan pendapatan jauh lebih rendah dari gaji minima yang telah Datuk Seri umumkan? Ada yang menjadi pekerja kontrak dengan gaji hari. Sebahagian lagi berkebun, ambil upah menoreh getah atau berniaga kecil-kecilan.

Tahukah Datuk Seri, kos membeli barangan membangunkan rumah di Kelantan dan di Kuala Lumpur tidak jauh bezanya. Yang membezakannya mungkin tukang rumah di Kelantan sedikit lebih murah. Itu bermakna, jumlah pinjaman YANG TERPAKSA mereka buat dengan kos 3.9% keuntungan itu satu yang terlampau membebankan.

MasyaAllah, untung benar Bank Rakyat yang bakal mengaut untung dari mangsa bencana banjir apabila puluhan ribu akan membuat pinjaman dan membayar kadar keuntungan minima 3.9% itu. Hujung tahun hadapan, pasti besar bonus pekerja-pekerja Bank Rakyat yang datang dari darah, airmata dan keringat marhaen yang tenggelam.

Tahukah Datuk Seri, mengapa Kelantan tidak mampu dirampas kembali oleh BN? Ada banyak perkara tetapi satu yang utama ialah keikhlasan kerajaan BN dalam usaha membantu memajukan negeri Kelantan, sebuah negeri dalam Malaysia yang Datuk Seri pimpin.

Datuk Seri dipilih sebagai Perdana Menteri oleh parti yang memenangi pilihanraya umum untuk menjadi PERDANA MENTERI MALAYSIA dan bukannya PERDANA MENTERI BARISAN NASIONAL. Sewajarnya agihan hasil mahsul dan khidmat kerajaan merangkumi negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang, khasnya yang majoriti rakyatnya sebangsa dan seagama dengan Datuk Seri.

Tahukah Datuk Seri jika Datuk Seri bangunkan Kelantan sekalipun ia dibawah kerajaan pakatan pembangkang dengan bersungguh-sungguh sepertimana negeri lain, pasti rakyat akan lebih optimis terhadap BN? Sekalipun rakyat masih memilih PAS sebagai kerajaan negeri, anggaplah pembangunan negeri itu ialah tanggungjawab kerajaan pusat secara bersama.

Tahukah Datuk Seri, kos penerbangan isteri Datuk Seri membeli belah untuk 1 jam perjalanan ialah kos sarahidup ratusan atau ribuan marhaen di Kelantan yang sedang mengais lumpur-lumpur mencari saki baki barangan yang mungkin masih boleh digunakan?

Jika beberapa jam Datuk Seri di Kelantan telah terjangkit dengan e-coli dan masuk ke dalam dada akhbar bukan kerana Datuk Seri seorang yang kena, kami sukarelawan dan mangsa-mangsa banjir telah immune dengan e-coli yang ada dalam air yang terpaksa kami minum dan masak setiap hari.

ANTARA PILIHAN DENGAN KEPERLUAN, BIARLAH KAMI BERI CONTOH

Isteri Datuk Seri boleh sahaja menggunakan khidmat penerbangan komersil untuk urusan beli belah dan mampu menjimatkan kira-kira 95-98% mungkin belanja perjalanan. Jika Datin Seri boleh ambil kelas ekonomi, mahu viral satu Malaysia menyebarkan foto Datin Seri terbang kelas ekonomi. Boleh jadi Datuk Seri menang lagi PRU akan datang. Yang itu kita namakan PILIHAN.

Antara air bersih dan air tercemar dengan e-coli ITU BUKAN SATU PILIHAN tetapi SATU LALUAN WAJIB. Suka mahupun terpaksa kami harus gunakannya.

Di harap Datuk Seri dapat pertimbangkan bantuan yang lebih luhur kepada mangsa banjir. Jika benar tidak mampu untuk dibantu kesemuanya dengan percuma, sekurang-kurangnya usahakanlah untuk tampa keuntungan (nama Islamik kepada FAEDAH a.k.a RIBA') dari bank yang katanya mahu memberikan kemudahan.

Ini adalah Bencana Nasional. Ia berlaku bukan untuk kerajaan Datuk Seri mengambil kesempatan membiarkan kerajaan negeri terkapai-kapai mencari sumber-sumber bantuan dari swasta dan luar negara.

Bantulah dengan segala yang ada kerana rakyat Malaysia telah membantunya sedaya mungkin. Bantuan yang luhur ini boleh jadi 100 kali lebih baik dari impak BR1M yang Datuk Seri berikan.

Banjir ini akan jadi satu ujian kepada Datuk Seri untuk cemerlang sebagai PERDANA MENTERI MALAYSIA atau sekadar menjadi PERDANA MENTERI BARISAN NASIONAL.

Kami 100 peratus yakin penyokong-penyokong Datuk Seri atau parti Datuk Seri akan gerakkan seluruh kudrat mereka untuk hentam kami. Itu semua dalam perkiraan kami.

Dengan pengalaman kami sendiri di sana, kami boleh dan mampu faham bagaimanakah langkah-langkah yang bersifat politik, bersifat kapitalis, ataupun bersifat ikhlas. Semua ini dikesan berdasarkan tanda-tanda kerana AlQuran telah mengajar kami untuk faham tanda-tanda di sekeliling kita.

Kami marhaen rakyat telah bersatu.
Tidak kira agama, bangsa dan parti.
Kami harap pemimpin juga begitu.
Bersatulah membantu tanpa mengira ideologi..

Bentuklah segera badan induk yang melibatkan semua pihak dari kerajaan pusat ke negeri, dari pejabat daerah, penghulu, ketua kampung, pemimpin institusi masjid, dan NGO agar bantuan boleh disatukan saluran dan pemantauannya dengan segera, telus. Adil dan menyeluruh.

Marilah sama-sama beristighfar mengakui kesilapan diri, baik kerajaan pusat mahupun negeri, sama-sama memohon ampun dari Allah dan mangsa bencana. InsyaAllah nanti Datuk Seri akan dapati Allah dan rakyat Malaysia amat pemaaf dan mengasihi.

Salam hormat dari kami warga marhaen

WARGA PRIHATIN 



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails