Saturday, January 31, 2015

MH370: Putrajaya tak berhati perut buat pengumuman kematian, kata waris


Sehari selepas Malaysia mengisytiharkan penerbangan kehilangan MH370 satu kemalangan dan semua 239 di atas kapal meninggal dunia, waris penumpang dan anak kapal itu melahirkan kemarahan mereka, menuduh Putrajaya tidak berhati perut dalam mengendalikan keadaan.

Kelly Wen, isteri penumpang dari China yang dikenali sebagai Li, melahirkan rasa kecewa dengan cara Putrajaya membuat pengumuman itu.

Pada Khamis, Jabatan Penerbangan Awam mengadakan siaran langsung di kaca televisyen dan Ketua Pengarah Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengisytiharkan, pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dalam satu kemalangan.



"Saya tidak akan terima pengumuman kehilangan tanpa memperolehi sebarang bukti tentang nasib sebenar pesawat itu," kata Wen pada sidang akhbar yang diadakan oleh waris penumpang dan anak kapal MH370 di Subang Jaya malam tadi.

"Saya sudah berada di Malaysia lebih satu minggu atas urusan peribadi apabila saya dapat tahu pengumuman akan dibuat mengenai MH370," kata Wen.

"Saya bertanya dengan kedutaan China dan pejabat Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, kedua-duanya kata tiada pengumuman dijangka dibuat."

Jelas tidak senang dengan cara Jabatan Penerbangan Awam mengadakan siaran langsung bagi mengisytiharkan kemalangan MH370 kelmarin, Wen berkata keluarga dan waris penumpang dan anak kapal sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu.

Tambahan pula, katanya, memandangkan majoriti mereka berketurunan Cina, Putrajaya dianggap tidak berhati perut membuat pengisytiharan tersebut ketika Tahun Baru Cina hampir menjelang.

Grace Subathirai Nathan, anak Anne Daisy, mengecam jawatankuasa yang bertanggungjawab atas waris, satu daripada 3 jawatankuasa yang ditubuhkan pada peringkat awal kehilangan MH370.

"Apa yang jawatankuasa ini, yang diketuai Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, buat? Bukankah mereka sepatutnya berhubung dengan keluarga?

"Kami tidak dengar sepatah kata pun dari jawatankuasa itu walaupun tujuan penubuhannya ialah untuk berhubung dengan waris dan memaklumkan kami sebarang perkembangan.

"Mana Hamzah? Apakah yang jawatankuasa itu buat selama ini? Putrajaya sama sekali tiada rasa hormat kepada keluarga dan waris," kata Grace.

Sarah Bajc, rakan Phillip Wood berkata, tindakan kerajaan Malaysia melanggar peraturan dan tatacara kelakuan baik yang biasa.

"Keseluruhan peristiwa dikendalikan dengan cara yang tidak berhati perut sejak 8 Mac apabila penerbangan itu mula-mula dikhabarkan hilang," katanya.

Isteri penyelia dalam penerbangan Patrick Gomes, Jacquita Gonzales berkata, dia enggan menerima berita itu tanpa memperolehi sebarang bukti.

"Mereka boleh isytiharkan suami saya mati, tetapi saya tidak boleh. Saya tidak boleh putus harapan terhadapnya," kata seorang Gonzales dengan linangan airmata.

"Kami katakan sebelum ini, dan kami tegaskan sekali lagi sekarang, kami bersedia menerima sebarang kemungkinan, termasuk fakta yang orang yang kami sayangi tidak boleh kembali.

"Tetapi semua ahli keluarga sebulat suara dalam pendirian kami yang kami tidak akan mengisytiharkan orang yang kami sayangi mati, jika tiada sebarang bukti," kata Jacquita lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails