Tuesday, January 13, 2015

Keputusan kes pembunuhan Altantuya akan diketahui hari ini...


Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini akan menyampaikan keputusan rayuan terhadap pembebasan dua anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) - Cif inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar - daripada tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu.

Panel yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria itu, akan memutuskan sama ada akan membenar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan mereka berdua pada bulan Ogos 2013.

Anggota lain panel hakim tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar.



Azilah dan Sirul dituduh bersama membunuh penterjemah Mongolia itu antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam berhampiran Shah Alam.

Bahan letupan jenis C4 digunakan untuk membunuh Altantuya, di mana bukti menunjukkan dia ditembak dahulu dan mayatnya diletupkan.

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang mengakui mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya, juga didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.

Bagaimanapun, Abdul Razak telah dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Hakim Mohd Zaki Yasin mendapati kedua-dua anggota UTK tersebut bersalah membunuh wanita Mongolia itu dan menjatuhkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, selepas membuat rayuan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membebaskan mereka berdua selepas mendapati berlaku penyalaharahan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, yang telah disenaraikan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dalam satu keputusan sebulat suara.

Menurut mahkamah rayuan, antara saksi penting yang tidak dipanggil untuk memberi keterangan termasuk adikong timbalan perdana menteri ketika itu, DSP Musa Safri.

Pihak pendakwaan kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan keputusannya akan diumumkan hari ini.

Malaysiakini membuat liputan secara langsung keputusan itu, yang dijangka bermula jam 9 pagi.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails