Friday, January 30, 2015

Kenyataan Mustafa terhadap Lim bersifat peribadi, kata Mat Sabu


Kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung isu pilihan raya kerajaan tempatan Pulau Pinang adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili parti, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Beliau berkata sehubungan itu, kenyataan yang dikeluarkan Mustafa itu tidak menjejaskan hubungan antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Perhubungan kami (PAS-DAP) baik dan PAS masih dalam pakatan. Kenyataan Mustafa itu adalah bersifat peribadi dan bukan pendirian parti kerana kami tidak mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Persidangan dan Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang ke-6, di George Town, hari ini yang disempurnakan oleh Lim.

Pada Rabu, Mustafa dalam sidang akhbarnya dilapor membidas Lim, yang disifatkannya bercakap tidak benar sepenuhnya berkaitan isu pilihan raya kerajaan tempatan yang diperjuangkan DAP.

Mustafa berkata kenyataan Lim yang juga setiausaha agung DAP yang mengatakan beliau (Mustafa) tidak membantah isu itu baru-baru ini, hanya pembohongan semata-mata.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata tindakan DAP yang memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan boleh melebarkan jurang penguasaan ekonomi di antara penduduk bandar dan desa sehingga boleh mengulangi rusuhan kaum 13 Mei.

Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, memutuskan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata kenyataan Mustafa itu juga tidak menimbulkan masalah yang besar kepada parti dan ia boleh diselesaikan dengan mudah.

Ditanya mengenai cadangan Mustafa yang mencabar Lim bersemuka dan berdebat secara terbuka, Mohamad berkata: "Itu kena tanya mereka yang berkenaan, saya tidak boleh bercakap bagi pihak Mustafa Ali atau Lim Guan Eng".

Sementara itu, usaha pemberita mendapatkan komen Lim sejak semalam berhubung perkara itu gagal apabila ketua menteri itu hari ini sekali lagi menyatakan tidak ada sidang akhbar daripada beliau ~ The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails