Thursday, January 29, 2015

Ibu Sirul nafi mahu anaknya pulang ke M'sia


Usaha untuk mengesan Piah Samat di kampung di Changkat Jering, Perak tidak sukar kerana beliau amat dikenali di kampung itu ekoran kes melibatkan anaknya, Sirul Azhar Umar.

Ketika ditemui Malaysiakini semalam, wanita berusia 74 tahun itu baru sahaja pulang daripada mengaji al-Quran.

Beliau menyambut pemberita dengan perasaan sangsi ekoran laporan berhubung pertemuan pemimpin PAS dengan beliau.

Piah bagaimanapun masih mampu bercakap mengenai anaknya, bekas anggota komando polis yang dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Piah berkata, kali terakhir beliau bertemu Piah adalah ketika Mahkamah Rayuan membebaskan anak keempatnya itu daripada tuduhan.

“Kami mengadakan kenduri doa selamat untuknya ketika beliau pulang ke kampung,” katanya sambul menahan tangisan.

Menurut Piah, Sirul, 43, jarang pulang ke rumahnya kerana “sibuk mengiringi menteri”.

Sebelum penahanannya, Sirul berkhidmat sebagai pengawal peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menjadi timbalan perdana menteri pada masa itu.

Ditanya sekiranya Sirul sememangnya bercita-cita menjadi anggota polis, Piah berkata anaknya itu ditawarkan jawatan selepas tamat peperiksaan SPM.

"Dia mahu menduduki semula peperiksaan SPM untuk dapatkan keputusan lebih baik namun dia ditawarkan pekerjaan dan berpindah ke Kuala Lumpur,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataannya seperti dilaporkan dalam sebelum ini, Piah kelihatan terkejut dan enggan mengulas mengenainya.

Laporan itu mendakwa, beliau berkata anaknya “dianiaya”.

Piah juga menafikan bahawa dia mahu anaknya kembali ke tanah air.

"Saya tidak pernah kata saya mahu dia balik.... Bukannya kita boleh percaya sangat akhbar,” katanya.

Menurut Harakah, Piah berkata keluarganya berharap Sirul akan bebas walau disabitkan dengan kesalahan membunuh.

Beliau didakwa menyatakan demikian ketika menerima lawatan ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dan ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat.

Penulis laporan Harakan itu Muhammad Faaez Azahar bagaimanapun dilapor berkata Harakah tidak melaporkan bahawa Piah berkata "dia mahu anaknya kembali ke tanah air".

Harakah juga menafikan mendakwa ibunya mengatakan anaknya “dikhianati” ~ Malaysiakini



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails