Sunday, January 11, 2015

Artis K-Pop bukan lelaki sejati - KJ


Susulan video gadis yang dipeluk dan dicium artis K-pop menjadi viral di media sosial, Khairy Jamaluddin menyeru gadis Malaysia kembali kepada lelaki sejati.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, ciri-ciri lelaki sejati pada pandangannya ialah seorang yang tinggi, gelap dan kacak dan bukan lelaki yang "pucat, keding dan jambu."

“Banyak dikatakan tentang K-pop. Harap gadis-gadis Malaysia kembali kepada lelaki tinggi, gelap dan kacak. Bukan pucat, keding dan jambu. Itu bukan lelaki sejati,” katanya menerusi laman Twitter hari ini.

Konsert artis berkumpulan K-pop yang menggelar diri mereka B1A4 mencuri perhatian pengguna media sosial apabila beberapa gadis Melayu yang bertudung dipeluk dan dicium ketika mereka membuat persembahan.

Video lebih 3 minit itu disiarkan di laman Facebook Sukan Star TV hari ini yang dirakam ketika satu konsert B1A4 di pentas KL Live di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur malam tadi.

Selain menteri belia dan sukan itu, pendakwah dan penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani juga memberikan komennya, menyalahkan kebebasan yang terlalu luas hingga lupa nilai agama sebagai punca ia terjadi.

Katanya, keruntuhan sosial ialah cabaran dan masalah paling besar ketika ini disebabkan umat Islam dilihat sudah semakin lupa dengan ajaran agama.

"Kita berhadapan masalah besar sekarang, sosial kita runtuh, ekonomi runtuh, agama sudah tidak ada. Apabila agama sudah tidak ada, segala-galanya juga sudah tidak ada," kata Dusuki seperti dipetik akhbar Harian Metro Online.

Rata-rata pengguna media sosial yang mengulas mengenai kejadian itu memberi reaksi negatif dan melahirkan kekesalan ke atas perilaku artis Korea Selatan berkenaan.

Bagaimanapun, salah seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Lim Jeremy berkata, artis Korea itu tidak boleh dipersalahkan kerana mereka tidak memahami undang-undang Islam.

“Salahkan gadis berkenaan. Jangan salahkan Islam dalam hal ini,” katanya.

“Maaf bercakap. Tidak pelik ke? Mengapa semua perempuan yang disentuh semuanya bertudung? Di situ kita nampak kebodohan dan kelemahan akidah umat akhir zaman,” komen seorang bernama Musemmil Genjuro pula.

Phylisia Valerie pula berkata: “Aku bukan Islam tetapi malu juga tengok benda macam ni. Kawan-kawan aku ramai Muslim, kalau dia orang buat benda macam ni, sah makan penyepak.”

“Jika kamu kenal gadis yang tidak menggemari K-pop, kahwinilah dia,” kata seorang yang bernama Wan Munir melalui akaun Facebooknya.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails