Saturday, January 10, 2015

Banjir di Kelantan macam tsunami, kata Doktor Tentera


Seorang doktor tentera di hospital bergerak yang dibina Angkatan Tentera Diraja (ATM) bagi menangani banjir di Kuala Krai menyifatkan situasi di Kelantan sebagai satu bencana seperti tsunami.

Leftenan Kolonel Dr Nik Mohd Noor Nik Amin, komander perubatan batalion kedua berkata, pasukannya pada mulanya terpaksa bergelut dengan cabaran seperti pengangkutan dan komunikasi.

"Banyak kenderaann kami rosak kerana cuba meredah banjir untuk masuk ke kampung. Talian komunikasi pula tidak stabil. Tiada siapa dapat menjangkakan situasi sebegini teruk.



"Tetapi sekarang kita sudah menambah baik kemudahan, dengan bantuan daripada Kuala Lumpur, setakat ini berjalan baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sejak dibina pada 29 Disember, hospital bergerak di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru itu merawat 100 hingga 150 pesakit setiap hari, menurut Dr Nik.


Beroperasi 24 jam sehari dengan lapan doktor pakar pelbagai bidang, daripada pakar sakit puan sehingga psikiatri dan fisiologi, 10 pegawai perubatan dan 132 pembantu perubatan, hospital itu berfungsi sebagai sokongan kepada hospital lain yang lumpuh akibat banjir.

"Biasanya wabak di sini adalah jangkitan pernafasan dan cirit-birit. 10 pegawai perubatan saya terpaksa dibawa pulang kerana itu.

"Keadaan semakin teruk sekarang kerana kita sedang memasuki fasa pemulihan. Udara di sini tebal dengan habuk, menyebabkan jangkitan paru-paru seperti batuk, selesema, manakala kebanyakan mangsa banjir memasak makanan menggunakan air banjir yang kotor," katanya.

Hospital bergerak yang pertama di Malaysia itu menurut Nik mempunyai dua bidang tugas iaitu menyediakan rawatan untuk pesakit luar dan pembedahan, serta menghantar pasukan perubatan keluar mendapatkan mangsa banjir yang sakit.

Beberapa kisah gembira dan tragedi sepanjang berada di situ turut dikongsi. Setibanya The Malaysian Insider di kem tersebut, pakar ortopedik Leftenan Kolonel Dr Rafedon Mahidon baru sahaja berjaya menyambung semula jari seorang remaja lelaki yang terputus.

"Pusat bantuannya terletak di kilang proses balak, jadi saya rasa di situ dia ditimpa kemalangan," kata Dr Rafedon ketika ditemui di bilik bedah.

"Saya juga membedah luka berjangkit, kecederaan otot, dan bendasing dalam badan. Tetapi kebanyakan pembedahan yang kita buat adalah kelahiran secara caesarean.

"Hospital Kuala Krai dan Gua Musang tidak ada bekalan air dan pakar bedah caesarean, jadi ibu yang bakal melahirkan anak diterbangkan ke sini, berbanding ke Kota Baru dan Kuala Lipis yang sudah terlebih pesakit," katanya.

Walaupun semua ibu bersalin selamat menjalani pembedahan dan sihat, seorang mangsa banjir berusia 75 tahun meninggal dunia beberapa hari lalu kerana jangkitan kuman selepas enggan menerima rawatan pemulihan, kata Dr Nik.

Menyifatkannya sebagai kes terpencil, dia juga enggan dipindahkan ke pusat perubatan sehingga keadaannya semakin merosot dan tidak ada pilihan melainkan terpaksa membawanya ke sini.

"Penduduk di sini tidak suka pergi ke hospital," katanya menggelengkan kepala.

"Pasukan kami jumpanya di pusat bantuan banjir. Ketika itu dia sudah sakit tiga hari sebelum meninggal dunia. Keluarganya berkeras melarang kami merawatnya," katanya.

Seorang pesakit berusia tiga tahun, Ayesha (bukan nama sebenar) terlantar akibat demam ditemani ibunya Siti Zaharah Noh.

Kediaman keluarga Ayesha di Kampung Gajah, Manik Urai dibawa pergi arus banjir yang menenggelamkan sebahagian negeri itu, Ibu bapanya seperti ramai lagi penduduk kampung yang kini menjadi gelandangan, terpaksa tinggal di khemah dan tidak memberikan perlindungan kepada anak kecil yang sakit.

Namun seperti kebanyakan masyarakat Kelantan lain, ibu Ayeesha masih bersyukur dengan keadaannya sambil menunjukkan kepada katil kosong di sebelahnya.

"Ini cuma demam biasa. Kamu kena tengok lelaki di sebelah katil kami sebelum dia dibawa masuk ke bilik pembedahan," kata Siti, 38, merujuk kepada remaja lelaki yang terputus jari menjalani pembedahan penyambungan semula oleh Dr Rafedon.

"Jari terpotong dengan mesin pemotong balak," kata suri rumah itu dengan perasaan ngeri.

Dr Nik berkata, kem perubatan itu dijangka beroperasi lagi seminggu, sehingga hospital utama di Kelantan kembali beroperasi sepenuhnya.

Kakitangan perubatan yang dipanggil bertugas 24 jam sejak dua minggu lalu juga akan digantikan dengan pegawai baru tidak lama lagi, katanya.

"Kita terpaksa bertahan di sini untuk seminggu lagi. Saya berharap kita dapat berehat tidak lama lagi tetapi semuanya bergantung kepada situasi.

"Keluarga saya sedang menanti saya di rumah dan saya harap dapat berada bersama anak-anak saya yang sudah mula bersekolah," katanya dengan senyuman penuh harapan.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails