Tuesday, January 6, 2015

Adakah Zahid menulis surat kepada FBI untuk mendapatkan "BENDA" ? soal PERKASA


Merujuk kepada isu surat dari Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr. Zahid Hamidi kepada FBI yang membabit Paul Phua, seorang individu yang sedang ditahan tanpa ikat jamin di Amerika Syarikat kerana disyaki terbabit dalam kegiatan kegiatan kongsi gelap antarabangsa serta jenayah perjudian.

PERKASA menerima pertanyaan yang bertubi-tubi dari orang ramai yang bimbang dengan kemungkinan bahawa surat tersebut mungkin mempunyai unsur rasuah dan salahgunakuasa.

PERKASA difahamkan dari butir-butir dalam surat tersebut yang telah tersebar meluas di media sosial serta pandangan daripada orang ramai, surat tersebut bolehlah dikategorikan sebagai suatu sokongan kepada Paul Phua dari Menteri Dalam Negeri bahawa Paul Phua adalah seorang yang baik kerana kerap menolong kerajaan Malaysia walaupun beberapa kali dia ditahan kerana terbabit di dalam sindiket perjudian antarabangsa. Tambahan pula, Paul Phua juga terpalit dengan aktiviti kongsi gelap di luar negara.



Satu frasa didalam surat tersebut menyebut "as such we are eager for him to return to Malaysia" bolehlah difahami seperti Dato' Seri Zahid Hamidi mahu menggunakan pendekatan diplomatik supaya Paul Phua ini dibebaskan serta dihantar pulang ke Malaysia.

Persoalannya, adakah Dato' Seri Zahid Hamidi berbuat sedemikian adalah kerana beliau mendapat "BENDA" sepertimana yang diungkapnya dulu kepada Naib Presiden PERKASA, Tan Sri Rashid ?

Kita sedia maklum jenayah melibatkan perjudian ini habuannya besar. Jika di Malaysia sahaja, keuntungan bulanan bagi pengusaha mesin judi haram ini mencecah jutaan ringgit sehari.

Maka, jika ini benar, PERKASA berpendirian ia adalah suatu tindakan yang berbentuk pengkhianatan kepada keselamatan negara serta merosakkan keintegritian dan imej baik negara yang selama ini dijaga baik oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak.

Persoalan yang timbul hasil daripada apa yang difahamkan, adakah Dato' Seri Zahid Hamidi sudah hilang keintegritiannya sehingga sanggup menulis surat berbentuk sokongan untuk melepaskan seorang penjenayah yang didakwa di luar negara hanya untuk mendapatkan "BENDA" ?

Bagi PERKASA, jika hal ini benar maka ia adalah suatu yang lebih jijik dari jenayah seksual atau liwat yang dilakukan oleh seseorang ahli politik. Perkara ini lebih besar kerana ia melibatkan unsur salahguna kuasa serta mempunyai unsur rasuah dan yang paling jijik sekali, kedua-dua unsur ini digunakan untuk melepaskan seorang penjenayah yang berpotensi menjadi ancaman kepada negara yang disyaki terlibat di dalam kegiatan kongsi gelap serta perjudian antarabangsa.

Dan ini semestinya akan mengkompromi keselamatan negara.

Jika inilah sifat seorang Menteri Dalam Negeri yang berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan keselamatan negara, maka tak hairanlah semenjak dua menjak ini terlalu banyak anasir-anasir jahat yang boleh mengganggu gugat keselamatan berleluasa.

Kini, persepsi sudah terbina dan pelbagai persoalan telah timbul dan perlukan penjelasan daripada menteri untuk merungkainya.

PERKASA ingin mendapatkan penjelasan dari Dato Seri Dr Zahid Hamidi, adakah Ketua Polis Negara dimaklumkan terlebih dahulu sebelum surat ini dihantar kepada FBI ?

Dan perkara ini adalah besar dan melibatkan hubungan antarabangsa dengan negara Kuasa Dunia serta penjenayah yang terpalit dengan kongsi gelap antarabangsa dan perjudian haram. Adakah perkara sebesar ini di dalam pengetahuan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak sebelum ia didedahkan oleh media ?

Adakah Dato Seri Dr Zahid Hamidi merujuk serta mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara terlebih dahulu sebelum menulis surat ini kepada FBI ?

Ini adalah persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh Dato Seri Dr Zahid Hamidi untuk merungkai persepsi negatif yang terbina dikalangan masyarakat.

Atau, jika tidak, rakyat akan menghukumnya dengan pelbagai persepsi negatif ini.


Azrul Akmal Saharudin
Ahli Dewan Tertinggi PERKASA
merangkap Setiausaha Biro Pemantauan & Integriti PERKASA



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails