Wednesday, January 14, 2015

1MDB: RM4 Billion duit KWAP kat mane?.. RM4 Billion duit KWAP kat mane? soal Rafizi


Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy diminta mendedahkan semua maklumat dan fakta tentang pinjaman RM4 bilion yang dibuat dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dalam tahun 2011.

Dalam satu sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata pinjaman itu dibuat oleh anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd.

"Pinjaman RM4 bilion dari KWAP yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan pada awalnya bertujuan untuk membeli syarikat perlombongan dari Mongolia bernama Gobi Coal & Energy untuk melabur di Mongolia seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Business Times.



"Pelaburan itu dilaporkan tidak berlaku dan sehingga sekarang tidak diketahui tujuan apakah RM4 bilion itu dibelanjakan," kata Rafizi.

Beliau juga memberi tempoh satu minggu untuk Arulkanda atau pihak kerajaan untuk menjawab.

"Kalau tidak saya akan mengatur supaya wakil-wakil pesara yang pencen mereka dicarum di dalam KWAP mengambil tindakan mahkamah terhadap 1MDB, KWAP dan Menteri Kewangan," tambah Rafizi.

Beliau turut berkata bahawa isu 1MDB bukan sahaja dibangkitkan oleh pihak pembangkang namun menjadi "kebimbangan rakyat" dan juga "beberapa pihak dari Barisan Nasional".

"Oleh kerana kurangnya maklumat mengenai pelaburan 1MDB itulah maka ahli-ahli parlimen tidak ada pilihan lain kecuali membuat siasatan sendiri dan menanyakan soalan-soalan berkaitan di Parlimen dan media," jelas Rafizi.

Rafizi berkata rakyat masih menunggu penurunan harga barang dan perkhidmatan susulan kejatuhan harga minyak mentah dunia yang mendadak. Kerajaan seharusnya memainkan peranan yang lebih penting dalam menurunkan harga barang dan tidak seharusnya menyalahkan para peniaga.

"PKR berpendapat bahawa tindakan kerajaan sekarang adalah tidak memadai dan melepaskan tanggungjawab dengan menyalahkan peniaga-peniaga yang kononnya tidak mahu menurunkan harga barang," kata Rafizi dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR, di sini hari ini.

Tambahnya, PKR kini beralih tumpuan kepada usaha memfokuskan perhatian rakyat kepada isu-isu berkaitan harga barang.

"Ini termasuk mendedahkan pelbagai perjanjian dan struktor kos yang menyebabkan kenaikan harga, tekanan kepada monopoli perniagaan yang mengherot harga serta desakan agar Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menurunkan harga barang," jelas Rafizi.

Beliau akan menumpukan kepada isu-isu dasar dan kuasa yang ada pada kerajaan persekutuan yang boleh digunakan untuk menurunkan harga barang.

Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Govindasamy akan mengetuai kempen menyemak harga dalam sektor barangan runcit manakala Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen akan mengetuai kempen menyemak tarif telekomunikasi.

Sektor lain yang turut akan dipantau adalah sektor pengangkutan udara, darat dan tenaga.

"Ini sepatutnya menjadi kerja kerajaan kerana sebagai pembangkang, tugas kami hanyalah untuk membangkitkan isu.

"Namun kerana kerajaan tidak memantau jadi kami mempunyai pasukan untuk memantau semua ini," jelas Rafizi lapor AstroAwani



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails