Sunday, December 7, 2014

Utusan persoal integriti PDRM tangani kes Cameron Highlands, judi haram


Akhbar Utusan Malaysia hari ini mempersoalkan tahap integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan penguatkuasa lain membanteras kegiatan haram, termasuk kes penerokaan tanah di Cameron Highlands dan premis judi.

Pengarangnya Zulkiflee Bakar berkata, walaupun serbuan dan pembanterasan dibuat, ia tidak dapat mengenepikan persepsi dan persoalan rakyat berkaitan integriti pegawai serta agensi penguatkuasa terlibat.

Katanya, dalam isu mesin judi haram, ketua polis daerah (OCPD) atau ketua polis balai sepatutnya sedar kewujudan premis judi haram tetapi hanya bertindak selepas mendapat arahan pihak atasan.

"Sesuatu yang melucukan apabila premis haram tersebut hanya dikesan dan diserbu apabila arahan dikeluarkan.

"Penulis percaya kalau (Ketua Polis Negara Tan Sri) Khalid (Abu Bakar) tidak mengeluarkan perintah sudah pasti kegiatan haram itu berleluasa," katanya dalam kolumnya "Komentar Zul Bakar" hari ini.

Katanya, dalam kes penerokaan tanah haram bagi dijadikan kebun sayur, adalah mustahil agensi penguatkuasa langsung tidak menyedari kewujudan ladang tersebut.

Berdasarkan gambar yang disiarkan, jelas ladang haram itu sudah beroperasi sekian lama tetapi hanya dimusnahkan apabila berlaku pendedahan media mengenai masalah pencemaran alam sekitar, katanya.

"Apa yang dibuat oleh pejabat tanah, pejabat daerah atau jabatan berkaitan selama ini sehingga ladang haram itu berleluasa?

"Begitu juga dari segi tangkapan, yang ditahan ialah pendatang asing tanpa izin (Pati), tetapi bagaimana dengan pemilik atau 'tauke' ladang haram tersebut?

"Atau mereka lebih cekap daripada agensi penguatkuasa dalam usaha mengelakkan diri daripada ditangkap?" soalnya.

Akhbar milik Umno itu sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengenai isu banjir lumpur dan lebih 30,000 warga asing di negeri itu, terutamanya Bangladesh di Cameron Highlands.

Ekoran itu, Adnan bertindak memfailkan saman RM15 juta terhadap Utusan kerana mempersoalkan integritinya sepanjang 15 tahun memerintah Pahang.

Selain itu, Zulkiflee berkata, PDRM perlu mengambil tindakan tegas dengan menukar mana-mana OCPD dan ketua balai polis di kawasan disahkan kegiatan paling aktif perjudian haram berikutan serbuan yang dilakukan.

Tambahnya, siasatan dalaman juga perlu dilakukan bagi membanteras pegawai atau anggota polis yang mengadakan "perkongsian bijak" dengan sindiket, semata-mata mahu hidup mewah dengan memakan wang haram.

"Kita juga tertanya-tanya kenapakah dalam serbuan yang dilakukan hanya pengunjung yang ditahan, bagaimana dengan 'taiko-taiko'?

"Khabarnya mereka amat bijak melindungi identiti daripada dikesan pihak berkuasa.

"Kalau betullah begitu, hebat sungguh 'taiko-taiko' tersebut kerana berupaya memperdayakan pihak berkuasa," katanya ~ The Malaysian Insider





Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails