Wednesday, December 24, 2014

Susur keluar Jambatan kedua runtuh: Dua syarikat kontraktor didenda RM85,000


Dua wakil syarikat kontraktor didenda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memastikan keselamatan di kawasan projek.

Kegagalan memastikan keselamatan itu menyebabkan kematian orang awam dan kecederaan pekerja semasa kejadian runtuhan penyambung Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Jun tahun lepas.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz memerintahkan Chan Kah Heen, 39, yang mewakili Cergas Murni Sdn Bhd membayar denda RM50,000, manakala Raub Razali, 50, pengarah Giga Engineering & Construction Sdn Bhd pula RM35,000.



Pada 22 Januari lepas, kedua-dua wakil syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan itu dan meminta kes dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Najib Ismail.

Namun, mereka menukar pengakuan semasa kes itu disebut semula hari ini.

Cergas Murni dituduh gagal menjalankan pengusahaan semasa kerja pembinaan susur Batu Maung Pakej 3A projek Jambatan Kedua Pulau Pinang pada kira-kira 7 malam, 6 Jun tahun lepas.

Berikutan itu, runtuhan itu menyebabkan kematian seorang orang awam, Tajudin Zainal Abidin dan kecederaan kepada dua orang iaitu Thilasheni Rajendran, 25, dan Gajashantini Gajanujan, 25.

Giga Engineering & Construction, selaku majikan pula dituduh gagal memastikan keselamatan pekerja semasa pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang pada tarikh dan waktu yang sama.

Berikutan itu, runtuhan itu menyebabkan kecederaan kepada dua pekerja warga asing, Slamet Toket dan Tin Maung Lwin.

Cergas Murni didakwa mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 manakala Giga Engineering & Construction mengikut Seksyen 15 (1) akta sama serta Seksyen 19 akta sama.

Kedua-dua kesalahan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan ~ The Rakyat Post



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails