Tuesday, December 16, 2014

Saya Ditawar RM5 Juta untuk Lompat Parti...


Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee selaku saksi defendan kelima memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau ditawarkan RM5 juta untuk lompat parti de­ngan menyertai PKR dan tawaran itu diterima daripada pihak ketiga melalui panggilan telefon.

“Pemanggil tersebut berkata dia daripada PKR. Saya tidak ingat namanya tetapi suara dia bercakap seperti orang Sabah.

“Saya kemudian memaklumkan kepada polis Cawangan Khas (SB) berhubung panggilan telefon tersebut dan menyerahkan nombor telefon pemanggil yang tertera di dalam log telefon saya,” kata beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Menurut Ronald, 53, beliau tidak mengingati secara tepat tarikh panggilan itu tetapi sebelum 16 September 2008.

“Saya tidak menghiraukan sangat panggilan itu kerana saya tahu bahawa saya tidak akan lompat parti, walau apa pun yang ditawar­kan. Ia tidak terfikirkan. Saya ti­dak membuat susulan terhadap panggil­an berkenaan selepas itu,” ujarnya dalam kenyataan saksinya.

Terdahulu, Ronald membe­ri­ta­hu, Anifah memang ada berbual (me­lalui telefon) dengan seseorang bernama Tony Vun kerana beliau ketika itu antara ahli kumpulan bersama menteri tersebut yang akan ke luar negara.

“Saya tidak mengenali dia (Tony) tetapi defendan (Anifah) memberi­tahu kami bahawa Tony Vun meng­hubunginya bagi pihak plaintif. Plaintif kemudian bercakap dengan defendan dan menawarkan beliau jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya defendan menyer­tai Pakatan Rakyat,” katanya.

Menjawab soalan lain, Ronald mengakui pernah satu ketika iaitu sewaktu berada di lounge Hotel Hilton Kuala Lumpur bersama-sama Anifah; Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi dan seorang lagi, ada seorang lelaki tinggi yang memakai topi besbol menghampiri mereka dan bercakap dengan Anifah.

“Saya tidak mendengar perbualan mereka, ia lebih dari lima minit. Selepas lelaki itu meninggalkan mereka, defendan memberitahu kami bahawa beliau menawarkan RM100 juta oleh lelaki tersebut untuk menyertai Pakatan dan membawa bersama beberapa ahli Parlimen,” kata beliau.

Menjawab soalan balas peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar, Ronald berkata, beliau tidak membuat laporan polis berhubung tawaran RM100 juta yang disifatkan oleh peguam itu sebagai sogokan, kerana Anifah yang sepatutnya membuat laporan polis.

Turut menjadi saksi semalam bekas Ketua Menteri Sabah yang juga pemimpin Parti Maju Sabah SAPP), Datuk Seri Dr. Yong Teck Lee lapor RakyatNews



Kemudiannya Bekas Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula memberi keterangan pada perbicaraan kes saman RM100 juta dikemukakan oleh Anwar terhadap Anifah berhubung kenyataan Menteri Luar itu pada sidang media di Washington pada Mei 2009.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sifat "megalomania" (berasa diri hebat dan berkuasa) dan hanya mementingkan agenda peribadinya.

Zahrain berkata beliau juga secara peribadi berpendapat Anwar bukan seorang yang berwibawa dan tidak boleh dipercayai selepas berkesempatan untuk bekerjasama dengan Anwar dalam PKR.

"Saya percaya beliau seorang megalomania. Saya percaya bahawa Anwar cuma mementingkan agenda peribadinya iaitu menawan Putrajaya 'dengan apa cara sekalipun" dan menganggap dirinya sebagai bakal perdana menteri," kata beliau semasa pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika ditanya oleh Muhammad Shafee apakah pengertiannya mengenai kata-kata plaintif (Anwar) "dengan apa cara sekalipun', beliau menjawab "mungkin dia menawarkan wang atau jawatan".

Zahrain dalam kenyataan saksi yang dikemukakan di mahkamah berkata beliau percaya apa yang plaintif maksudkan dengan perkataan "dengan apa cara sekalipun' ialah beliau (Anwar) akan menggunakan apa cara yang ada untuk memastikan parti gabungan PKR akan membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu melalui tindakan menarik anggota kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti.

"Ini termasuk dan tidak terhad kepada habuan kewangan untuk menarik anggota Parlimen BN untuk berbuat demikian," katanya.

Zahrain berkata beliau mengenali Anwar sejak 2008 semasa pilihan raya umum apabila beliau (Zahrain) menjadi anggota Parlimen dan oleh kerana gabungan BN telah memenangi pilihan raya, Anwar tidak dapat menerima hakikat bahawa partinya telah tewas.

"Anwar secara konsisten membuat kenyataan dalam media massa bahawa Kerajaan Persekutuan yang dipilih oleh rakyat akan tumbang kerana ramai anggota Parlimen daripada BN telah mengambil keputusan untuk melompat parti dan menyertai PKR untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu," katanya.

Zahrain berkata, pada atau sekitar tahun 2008 selepas BN memenangi pilihan raya umum, beliau tidak yakin mengenai keupayaan Pakatan Rakyat untuk menerajui negara yang kemudian mendorong beliau untuk menjadi anggota Parlimen Bebas.

"Pada masa itu, ada cakap-cakap mengenai tawaran yang dibuat kepada anggota Parlimen daripada BN untuk melompat parti dan PKR yang plaintif (Anwar) dakwa akan membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu kerana beliau telah memperoleh sokongan daripada sekurang-kurangnya 32 lagi anggota Parlimen untuk tujuan itu.

"Saya tahu bahawa Anwar telah menjanjikan habuan kewangan kepada beberapa anggota Parlimen BN dan kepada yang lain beliau menjanjikan jawatan tertentu jika parti pimpinan Anwar membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu," katanya.

Zahrain juga berkata beliau secara peribadi tidak tahu bahawa plaintif mahu anggota Parlimen Kimanis (Anifah) untuk menyertai PKR dan Anwar telah bercakap mengenai perkara itu dengan beberapa pemimpin PKR.

"Yang saya ingat ialah Wee Choo Keong, Datuk Zulkifli Nordin. Turut hadir pada masa itu ialah Chua Tian Chang, Datuk Johari Abdul, Datuk Rashid Din dan beberapa yang lain," katanya lapor AstroAwani



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails