Friday, December 5, 2014

Rakyat Bukan Bangang, Mengakulah Ekonomi Kita Sedang Merudum..


Putrajaya perlu mengakui realiti ekonomi negara kini sedang merudum dan berterus terang kepada rakyat sebelum mereka marah apabila situasi itu benar-benar berlaku, kata Datuk A Kadir Jasin.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata, kerajaan sepatutnya berkongsi maklumat secara rasional dan terbuka dengan rakyat, bukan berdolak-dalik atau sengaja mereka berita baik. 

"Jangan tunggu mereka marah. Terus teranglah dengan mereka. Jangan sekali-kali anggap mereka bangang, bodoh, dungu, tongong dan bahlul," tulis Kadir dalam tulisan di blognya The Scribe ‎A Kadir Jasin, hari ini.

Beliau berkata, rakyat kini bijak tentang ekonomi selepas merasai kenaikan harga barang akibat pemansuhan subsidi minyak, kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) walaupun masih belum dilaksanakan, harga getah dan kelapa sawit yang merudum serta nilai mata wang ringgit yang semakin rendah.

"Jadi bukankah lebih elok bagi kerajaan mengakui realiti semasa dan berterus terang kepada rakyat jelata?

"Lebih baik membuatkan mereka kurang gembira dengan menyatakan kebenaran daripada membuatkan mereka marah apabila malapetaka ekonomi melanda mereka," katanya.

Bekas wartawan veteran itu berkata, banyak fakta dan ramalan ekonomi yang menjurus ke arah keadaan yang sukar dan mencabar apabila ekonomi Eropah diramalkan menguncup tahun depan, ekonomi Australia sudah mula menurun, malah ekonomi China juga sudah mula dingin.

Kadir berkata, kadar tukaran ringgit pada 1 Disember jatuh paling banyak dalam sehari sejak Krisis Kewangan Asia 1997-98, kepada RM3.4320 bagi AS$1.



Memetik laporan The Star pada 3 Disember, analisis pendapatan suku ketiga tahun ini (Julai-September) bagi syarikat-syarikat Bursa Malaysia mendapati hanya dua daripada lima sektor utama ekonomi meningkat.

Automotif naik 18.2% dan perbankan 1.6%, tetapi sektor perkhidmatan jatuh 58.5%, komoditi jatuh 37.7%, manakala sektor minyak dan gas jatuh 29.3%. Perkhidmatan menyumbang lebih daripada 50% kepada kegiatan ekonomi negara.

Pada 4 Disember, akhbar sama menyiarkan analisis prestasi mata wang ringgit, mendapati ringgit jatuh berbanding kebanyakan mata wang rakan dagang utama.

Ringgit jatuh 5.61% berbanding dolar Amerika, 5.58% berbanding dolar Hong Kong, 3.93% berbanding baht, 2.93% berbanding rupee, 2.44% berbanding dolar Taiwan dan 0.95% berbansing dolar Singapura. Ia naik berbanding Yen (9.40%), Euro (5.91%), dolar Australia (4.32%), pound Inggeris (2.31%) dan rupiah (0.73%).

The Star juga meramalkan kelembapan eksport mungkin mengakibatkan Malaysia mengalami defisit kembar (twin deficit) iaitu defisit akaun semasa dan defisit perdagangan, memetik ketua ahli ekonomi AllianceDBS, Manokaran Mottain.

"Sama ada ekonomi kita akan mengalami krisis atau tidak tahun hadapan, satu hal. Itulah yang sedang diramalkan oleh pembangkang pusat," kata Kadir.

Katanya, sangat mengelirukan apabila Gabenor Bank Negara, Zeti Aktar Aziz, berkata bagus apabila nilai ringgit naik dan bagus juga apabila ia jatuh.

Kadir berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyatakan keyakinan matlamat mengurangkan defisit belanjawan 2014 kepada 3.5% KDNK masih boleh dicapai walaupun harga minyak jatuh teruk.

Menurut Kadir, begitu juga kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Zafrul Aziz mengenai asas ekonomi negara terus kukuh, dan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid, yang melihat prospeks ekonomi sebagai bercampur.

"Soalnya, bolehkah kita percayai dakwaan bahawa fundamental ekonomi kita kukuh apabila bukan saja harga komoditi utama kita jatuh malah kadar tukaran mata wang kita pun jatuh juga?

"Harga saham dan jumlah dagangan di Bursa Malaysia semakin menurun. Prestasi syarikat yang disenaraikan dengannya lebih banyak yang negatif daripada positif. Boleh kata majoriti melaporkan penurunan keuntungan," katanya ~ The Malaysian Insider





Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails