Saturday, December 20, 2014

Pemandu teksi tempatan menggelupur ditindas


Kerajaan hendaklah buktikan slogan ‘rakyat didahulukan’ dan tidak terus menindas pemandu teksi di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa, Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM), Khadijah Aman hari ini mendakwa pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membiarkan pemandu warga asing membawa kenderaan UBER (kereta sapu).

Khadijah yang mendakwa tindakan tersebut telah menyekat pendapatan ahli-ahli PERSIM, seterusnya mencabar kerajaan jika tidak mengharamkan UBER, PERSIM akan mogok untuk tidak membawa penumpang teksi selepas ini.

“Kita mahu kerajaan buktikan dahulu slogan kata ‘rakyat didahulukan’,” katanya kepada pemberita di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur.

Beliau yang mendakwa ada individu berpengaruh melindungi UBER berkata, “Kita semua akan menjadi pengemis, takkan UBER sahaja yang mahu hidup,” ujarnya.

Khadijah menyertai 60 orang pemandu teksi serta PERSIM menyerahkan memorandum kepada SPRM supaya siasat SPAD yang membenarkan kenderaan UBER beroperasi dalam industri teksi Malaysia.

Sementara itu wakil Badan Bertindak Teksi Malaysia, Aman Jan menyifatkan SPAD sebagai lemah kerana mempunyai kuasa tetapi tidak menggunakannya.

Beliau berkata pendatang asing dibenarkan beroperasi tetapi pemandu teksi tempatan dibiarkan menggelupur dan menahan keperitan setelah ditindas.

“Kita minta SPRM siasat secara telus dan kita ingin melihat perkembangan-perkembangan hasil siasatan agar jelas.

“Kita pemandu teksi menghormati undang-undang tetapi penguatkuasa tidak menguatkuasakan undang-undang. Macam mana kita mahu ikut undang-undang, kalau mereka sendiri langgar,” jelasnya.

Ujarnya pemandu teksi juga ada hak untuk menyatakan ketidakpuasan hati dalam pentadbiran negara.

“Kami harap kerajaan ambil perhatian dan SPRM siasat perkara ini,” katanya lapor Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails