Friday, December 19, 2014

Muhyiddin lebih layak sebagai PM dari Najib dan Khairy angkuh kata Pemimpin UMNO Cawangan


Pemimpin Umno cawangan Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata, Datuk Seri Najib Razak perlu berundur dari kedudukannya dalam parti serta sebagai perdana menteri agar ruang itu dapat diberikan kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya cadang timbalan perdana menteri ambil alih kedudukan Najib. Beliau lebih layak dan ini supaya dapat memberi nafas baru kepada parti," kata beliaur.

Cadangan ini dibuat sebagai tambahan kepada surat terbuka Ketua Penerangan Umno cawangan Taman Chempaka, Pandan, sebelum ini yang menuntut supaya Najib berundur.



Dalam pada itu, Syed Rosli mengingatkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin beliau tidak mungkin berada di tahapnya seperti sekarang tanpa sokongan akar umbi.

Malah beliau juga turut mengingatkan menteri belia dan sukan itu suara akar umbi itulah yang menyaksikan bagaimana bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi terpaksa berundur daripada jawatannya.

"Khairy Jamaluddin kena ingat undian daripada akar umbilah yang menyebabkan beliau menang dan daripada suara akar umbilah membawa kejayaan desakan Tun Abdullah Badawi meletakkan jawatan," katanya.

Menjawab reaksi Khairy dalam surat terbukanya kepada perdana menteri pada Rabu lalu, ketua penerangan Umno cawangan itu berkata, kenyataan Khairy selain bersifat angkuh dan sombong, juga akan memberikan persepsi negatif kepada ahli Umno yang sememangnya menjadi suara akar umbi parti itu.

"Beliau tidak boleh kata suara akar umbi ini tidak relevan. Tidak adil kalau ahli Umno ini tidak dapat bersuara, jadi apa tujuan menjadi ahli kalau tidak dapat bersuara atau suara kami dipandang hina.

"Umno sendiri cuba permudahkan cara bagi rakyat menjadi ahli, jadi dengan kenyataan Khairy bukan sahaja menyebabkan ahli berasa kecewa tetapi menyebabkan timbulnya tanggapan negatif rakyat apabila suara akar umbi ini dianggap paling rendah.

"Sebagai pemimpin Umno, Khairy sepatutnya lebih menghormati suara akar umbi," katanya.

Khairy dalam reaksinya kepada surat terbuka itu menghina Syed Rosli dengan berkata ia adalah suara yang paling rendah dalam hierarki Umno.

Bercakap di sidang media semalam, Khairy berkata beliau hairan mengapa media memilih untuk menyiarkan surat Syed Rosli kerana beliau tidak mempunyai jawatan tinggi dalam Umno.

Apatah lagi kata Khairy, Syed Rosli pernah mencabarnya untuk jawatan ketua pemuda, namun tidak mendapat sebarang undi.

Mengulas mengenai surat terbukannya yang mendesak Najib untuk berundur agar Umno dapat dikukuhkan semula, Syed Rosli berkata pandangannya itu dibuat secara ikhlas tanpa ada agenda tertentu.

Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Umno Taman Chempaka, Pandan, itu berkata beliau bebas menyuarakan pendapatnya menggunakan media sosial tanpa sekatan.

"Saya ikhlas apabila menyuarakan hal ini, saya rasa ia salah satu cara menarik perhatian pemimpin Umno. Saya bukan ahli majlis tertinggi juga bukan berada dalam Kabinet. Saya tidak ada akses untuk bercakap terus dan surat terbuka merupakan medium saya.

"Saya juga tidak mendapat apa-apa manfaat, tidak ada projek atau tender yang saya perlu jaga. Saya cuma ahli biasa, apa yang saya cakap adalah luahan dari hati yang bimbang dengan masalah parti," katanya.

Tambahnya lagi, gesaan mendesak Najib berundur bukan hanya datang daripada suara akar umbi, malah daripada pimpinan tertinggi sekalipun, seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Seperti saya nyatakan dalam surat terbuka, Najib perlu berundur kerana sudah menjadi liabiliti dalam parti, terlalu banyak isu seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beliau sepatutnya sebagai menteri kewangan menjawab isu tersebut, namun hanya bertindak mendiamkan diri," katanya.

Selain itu, Syed Rosli mengakui tidak gentar sekiranya Umno bertindak memecat atau menggantung keahlian beliau kerana kelantangannya itu.

Beliau berkata sekiranya parti itu bertindak menggantung atau memecatnya, ia membuktikan tiada kebebasan untuk ahlinya bersuara atau bercakap mengenai pemimpin.

"Saya ini lebih sayangkan parti daripada pemimpin dan andai kata saya dipecat, jadi perjuangan saya bersama Umno akan terhenti setakat ini, namun perjuangan saya bersama rakyat akan berterusan," katanya.

Dalam surat terbukanya, Syed Rosli menuntut Najib berhenti kerana perkhidmatan beliau tidak lagi diperlukan.

Beliau berkata, Umno ketika ini sudah semakin lemah daripada segi sokongan orang Melayu, mahupun pengundi parti komponen Barisan Nasional (BN) terutamanya parti berteraskan bangsa Cina dan India.

Sebelum ini, Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis terhadap 1MDB tentang pentadbiran kewangan syarikat hak milik kerajaan itu.

Beliau yang merupakan penerbit buku "50 dalil kenapa Anwar tidak boleh menjadi PM" itu berkata, siasatan terperinci harus dilakukan bagi mengenalpasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi syarikat tersebut.

Pada masa sama, Syed Rosli turut mencabar Najib membuat undian secara online, adakah khidmat perdana menteri itu masih diperlukan bagi membuktikan dakwaannya mengenai penolakan akar umbi.

"Selama ini Najib pegang jawatan tersebut tanpa bertanding, jadi saya cabar, adakah beliau berani secara terbuka mengadakan undian online dan saya jamin daripada situ kita tahu beliau diperlukan atau tidak," katanya lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails