Tuesday, December 23, 2014

Kecoh mural Chin Peng dilukis di bangunan di Ipoh..


Kalau dilukis dimana-mana bangunan di Pulau Pinang mural lelaki yang menyerupai Chin Peng ni riuh rendahlah 1Malaysia..

Mungkin boleh runtuh bangunan itu dikerjakan oleh PERKASA Pulau Pinang yang terkenal 'gagah' nya itu..

Tak pedulilah walaupun itu bukan gambar Chin Peng.. asal serupa Chin Peng dah boleh dijadikan isu untuk menggerakkan demo..



IPOH - Di sebalik keindahan lukisan mural di sekitar Bandaraya Ipoh terdapat satu lukisan yang nyata mengundang kontroversi apabila ia mirip wajah Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Tiada siapa yang menyangka gambar yang menunjukkan seorang lelaki tua sedang memegang cawan di Jalan Tun Sambanthan, di sini, berhampiran Padang Ipoh itu seakan-akan individu yang diharamkan ke negara ini.

Pendedahan itu dibuat sendiri oleh seorang warga Ipoh, Mior Azman Mior Aris, 46, yang sudah lama meneliti gambar berkenaan sejak ia dilukis pada Jun lalu oleh seorang pelukis mural terkenal.

Menurutnya, jika dilihat sekali imbas memang tidak perasan tentang individu yang dilukis memandangkan Chin Peng tidak dikenali ramai dari segi paras rupanya.

“Saya bersama beberapa rakan yang lain duduk semeja berbincang mengenai wajah individu terbabit. Apabila kita membuat pencarian internet gambar Chin Peng dan banding dengan lukisan itu, memang sama.

“Ini satu tamparan hebat kepada kerajaan negeri khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membenarkan lukisan itu dilukis. Dalam sibuk kita membantah dan menghalang abu mayatnya (Chin Peng) di bawa ke negara ini, dengan selamba wajahnya dijadikan mural,” katanya.

Mior Azman berkata, perkara ini serius kerana ia dilihat cubaan pihak tertentu untuk menyebarkan elemen subversif menggunakan seni mural.

Tambahnya, perkara seumpama itu harus menjadi iktibar kepada semua pihak khususnya PBT supaya lebih peka dalam menerima sesuatu projek seni bagi mengelak agenda tertentu dibawa melaluinya.

“Kita mahu orang ramai buka mata terhadap agenda pihak tertentu yang cuba membawa masuk ideologi tertentu secara halus.

“Orang ramai hanya nampak ia sebagai lukisan yang cantik, tetapi maksud tersirat di sebaliknya kita tak tahu,” katanya lagi.

Ramai tidak perasan

Sementara itu, seorang warga Ipoh, Rozamir Zulkifli, 42, berkata, jika sekali imbas, gambar yang terpampang di bangunan tersebut memang mirip Chin Peng, tetapi tidak serupa.

Menurutnya, lukisan ini subjektif untuk ditafsir kerana pelukis melukis melalui hati, bagaimanapun jika ia disuruh melukis gambar tersebut, motifnya perlu disiasat.

“Jika gambar itu serupa, kita perlu siasat perkara tersebut. Dalam hal ini, kita juga perlu tahu tujuan lukisan dibuat sama ada mengindahkan bangunan atau menarik perhatian pelancong dan sebagainya.

“Jika sebabnya lain atau terdapat maksud tersurat dan tersirat, ia perlu tindakan segera dari pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Seorang lagi warga Ipoh, Abdul Salim Putera Ahmad Shibi, 39, mengharapkan tindakan dan siasatan dari pihak berkenaan sekiranya gambar tersebut adalah Chin Peng.

Abdul Salim berkata, jika benar ini mungkin satu cara halus pihak tertentu untuk meracuni fikiran anak muda yang tidak tahu sejarah sebenar gambar berkenaan.

“Cadangan saya supaya pihak kerajaan negeri menganjurkan pertandingan lukisan mural wajah tokoh-tokoh Melayu supaya golongan muda kenal dengan tokoh yang pernah berbakti kepada tanah air kita.

“Cara ini lebih baik dari menuduh atau memarahi pihak berkenaan. Pihak berkuasa juga perlu memberi lebih perhatian kepada mereka yang bergerak secara sembunyi dan berharap perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.

Pengerusi Barisan NGO Negeri Perak, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar berkata, siasatan perlu dibuat untuk memastikan gambar siapa yang terpampang di bangunan tersebut.

Mohd Salleh berkata, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menghormati keputusan kerajaan dan menolak apa sahaja agenda untuk memasukkan Chin Peng atas kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Pihak yang bertanggungjawab juga diminta untuk memberi penjelasan kerana memberi kebenaran lukisan tersebut terpampang di situ dan boleh menyebabkan salah sangka di kalangan rakyat apabila perkara yang tidak boleh, dibolehkan.

“Selain pihak berkaitan, pemilik bangunan juga perlu disiasat untuk memastikan semuanya jelas dan tidak timbul kekeliruan,” katanya.

Yang Dipertua Ikram Perak, Yahanis Yahya pula berpendapat, mural seumpama pimpinan PKM ini amat sensitif dan boleh menaikkan sentimen beberapa pihak.

Menurut beliau, kesemua pihak diharap menjaga keharmonian negara dengan bertanggungjawab malah dalam kes ini pihak berkuasa tempatan perlu memberi penjelasan.

“Kajilah sejarah secara objektif supaya penilaian dibuat dengan fakta bagi meningkatkan intelektual dan Malaysia boleh menuju ke negara Rahmah,” katanya.

MBI nafi mural Chin Peng

Sementara itu, sumber dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberitahu pihaknya telah maklum dengan perkara itu.

Menurut beliau, isu berkenaan sebenarnya sudah pun selesai dan pihak MBI menafikan individu dalam lukisan mural berkenaan adalah Chin Peng.

Malah katanya, satu mesyuarat jawatankuasa sudah pun dibuat bagi membincangkan isu itu sebelum ini.

“Kita faham akan sensitiviti masyarakat walaupun kita nyatakan bahawa lukisan itu bukanlah Chin Peng. Kita akan berbincang dengan pelukis dan pihak berkaitan untuk menukar gambar yang lain.

“Apa-apa pun saya akan rujuk kepada Datuk Bandar dahulu sebelum maklum balas lanjut diberikan mengenai isu ini,” katanya.

Di Pekan Lama Ipoh, terdapat tujuh lukisan mural berinspirasikan kopi yang dihasilkan pelukis terkemuka, Ernest Zacherevic di bawah projek Art of Oldtown.

Setiap lukisan ditempatkan di tujuh lokasi berbeza seperti di Jalan Panglima, Market Street, Jalan Bijeh Timah, Concubine Lane 3, Jalan tun Sambanthan dan Jalan Padang yang memaparkan mural seperti ‘Kopi-O’, ‘kapal terbang kertas’, ‘beca’, ‘evolusi’ dan ‘pakcik tua bersama kopi putih’ ~ Sinar Harian



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails