Wednesday, December 31, 2014

Hanya tiga mayat, bukan 40 seperti laporan awal, kata Ketua BASARNAS


Ketua Badan SAR Nasional (BASARNAS) berkata hanya tiga mayat berjaya dikeluarkan setakat ini, bukannya 40 mayat seperti laporan awal.

"Hari ini kita berjaya mengeluarkan tiga mayat dan kini berada di atas kapal perang Bung Tomok," ulas Bambang Soelistyo dalam satu sidang media di Jakarta. Tiga mayat itu merupakan dua perempuan dan seorang lelaki.

Terdahulu, jurucakap Tentera Laut Manahan Simorangkir berkata kepada AFP sebuah kapal perang Indonesia telah mengeluarkan lebih 40 mayat dari laut pada Selasa, dalam usaha mencari pesawat AirAsia QZ 8501.

Laporan sebelum ini..

Mayat dibawa keluar dalam carian QZ8501



Kapal perang Indonesia dalam usaha pencarian pesawat AirAsia QZ8501 menemui lebih daripada 40 mayat dari Laut Jawa setakat ini, seorang jurucakap tentera laut memberitahu AFP.

"Berdasarkan radio tentera laut, dilaporkan yang kapal perang Bung Tomo sudah membawa keluar 40 mayat dan bilangannya makin bertambah. Mereka sangat sibuk sekarang," kata Manahan Simorangkir.

Bilangan mayat yang berjaya dikeluarkan kemudiannya dibetulkan lewat petang ini oleh Ketua Basarnas Bambang Soelistyo yang mengatakan hanya tiga mayat yang berjaya diangkat setakat ini.

"Hari ini kami pindahkan tiga mayat dan semuanya sekarang di dalam kapal perang Bung Tomo," Bambang memberitahu sidang akhbar di Jakarta, menurut laporan AFP.

Katanya mayat itu terdiri dari dua wanita dan seorang lelaki

Enam mayat yang ditemui terdahulu juga sudah dibawa ke Tanjung Pandan di Belitung kerana kapal tentera laut yang membawa mereka tidak boleh memasuki sungai menuju ke Pangkalan Bun di Kalimantan, menurut laporan Today.com.

Jasad manusia dan serpihan kapal terbang yang dikesan pada tengahari di Selata Karimata itu ialah antara Kalimantan dan Sumatra, di luar pulau Belitung di mana hubungan kali terakhir dibuat antara radar kapal terbang itu dengan pusat kawalan trafik udara sebelum ia hilang.

Sebelum itu, serpihan juga dikesan semasa carian udara di sektor itu, menemui objek yang kelihatan seperti slaid kecemasan dan pintu kapal terbang di dalam laut.

Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia, Bambang Soelistyo juga mengumumkan satu pesawat tentera udara hari ini menemui 'bayang' di dasar lautan dipercayai pesawat jenis Airbus 320-200 yang hilang itu.

Kedalaman air di mana kapal terbang itu dipercayai terhempas dikatakan hanya 40 meter, menurut laporan CNN.

AirAsia QZ8501, dipercayai terhempas dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada pagi Ahad, membawa tujuh anak kapal dan 155 penumpang termasuk 16 kanak-kanak dan seorang bayi.

Mereka terdiri dari 155 warga Indonesia, tiga dari Korea Selatan dan masing-masing seorang dari Singapura, Malaysia, United Kingdom dan Perancis.

Kali terakhir ia berhubung dengan pusat kawalan trafik ialah ketika meminta kebenaran terbang pada altitud lebih tinggi bagi mengelak awan tebal dalam cuaca buruk ~ The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails