Thursday, December 11, 2014

'Datuk Seri' untuk Azmin Ali hanyalah khabar angin rupanya..


Semalam tiba-tiba saja heboh dalam berbagai media cerita kononnya Menteri Besar Selangor, Azmin Ali akan dianugerahkan gelaran 'Datuk Seri' oleh Sultan Selangor.

Dari mana sumber mereka aku tak pasti dan siapa yang mula sebarkan cerita ini aku juga tak pasti..

Yang jelas tindakan menyebarkan cerita itu jelas berniat untuk menimbulkan rasa kurang senang terhadap Azmin Ali.

Sebabnya Azmin dikatakan tahu lebih awal akan keputusan Sultan Selangor untuk menarik balik gelaran 'Datuk Seri' yang dianugerahkan oeh Sultan Selangor yang terdahulu kepada Anwar tetapi tidak memaklumkan kepada Anwar.

Dan menurut yang menyebarkan cerita, Azmin dikatakan menyokong tindakan Sultan Selangor menarik gelaran 'Datuk Seri' Anwar Ibrahim itu sebab Azmin sendiri yang mahukan gelaran itu..

Apa punya cerita tu?.. kah.. kah.. kah.. nampak sangat 'kurang bijak' nya yang menyebar cerita tu.

Gelaran 'Datuk Seri' tu bukannya terhad macam gelaran 'Tun'.. tak timbul masaalahpun kalau Sultan Selangor mahu anugerahkan gelaran 'Datuk Seri' kepada Azmin tanpa menarik balik gelaran 'Datuk Seri' dari Anwar Ibrahim..

Tapi untuk mendapatkan kepastian aku bertanya kepada seorang individu yang rapat dengan Azmin, benarkah apa yang tersebar kononnya Azmin akan dianugerahkan gelaran 'Datuk Seri'?

Jawapannya... "No".. tak adalah tu maknanya...

Laporan dari The Malaysian Insider juga sama dengan jawapan yang aku dapat tu.. bacalah..


Azmin tidak tersenarai anugerah Selangor



Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tidak tersenarai sebagai penerima anugerah pingat darjah kebesaran yang membawa gelaran "Datuk Seri", kata sumber, sekali gus melenyapkan spekulasi sebelum ini gelaran itu akan mengeruhkan lagi hubungan PKR dengan istana, jika timbalan presiden parti itu menerimanya.

Sumber kerajaan Selangor memberitahu The Malaysian Insider, sebaliknya, dua pemimpin PAS Selangor yang memegang jawatan eksekutif negeri, Iskandar Abdul Samad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka dan Dr Ahmad Yunus Hairi (Adun Sijangkang) berada dalam senarai penerima pingat yang membawa gelaran 'Datuk' sempena Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.

Dua pemimpin PAS itu memegang jawatan exco negeri selama 2 penggal sejak kepimpinan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selain mempunyai jawatan tertinggi parti peringkat negeri.

Sebelum ini heboh di media sosial mengatakan Azmin bakal menerima gelaran 'Datuk Seri' pada hari keputeraan Sultan Selangor esok, tidak lama selepas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan gelaran yang sama kerana dikatakan sering mempertikaikan integriti institusi diraja.

Sehubungan itu, wujud desakan menggesa Azmin menolak pemberian itu kerana jika menerimanya, ia akan menjatuhkan maruah Anwar dan PKR.

Pada masa sama, pemerhati menjangkakan jika menolak gelaran itu, ia akan mendatangkan murka dan mengeruhkan hubungan Azmin dengan istana.

Selain itu, lantikan Azmin sebagai menteri besar Selangor adalah berdasarkan pilihan Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun Pakatan Rakyat (PR) mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semasa PR membentuk kerajaan di Perak pada 2008, Mohammad Nizar Jamaluddin dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, sebulan selepas mengangkat sumpah jawatan menteri besar pada 17 Mac.

Begitu juga dengan bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak yang menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun sama selepas PR menawan Kedah pada 2008.

Difahamkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ditawarkan anugerah 'Datuk Seri' tetapi menolaknya atas dasar prinsip DAP yang tidak mahu membawa sebarang gelaran semasa masih lagi berkhidmat dan memegang jawatan kerajaan pusat atau negeri.

Dr Wan Azizah pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pagi tadi ketika diminta mengulas spekulasi itu berkata, PKR bersikap terbuka jika Azmin menerimanya kerana pemberian anugerah merupakan hak mutlak Sultan Selangor.

"Parti tidak protes dalam hal itu sebab itu kuasa sultan. Pada saya itu tidak akan jejas polisi dan beri kesan kepada rakyat," katanya.

Azmin kebelakangan ini dilihat mengelak memberi sebarang komen mengenai isu ini malah tidak mahu mengulas lanjut tentang pelucutan gelaran Anwar.

"Tidak mahu komen. Terima kasih," katanya setiap kali wartawan mengajukan soalan sama.

Ianya menyebabkan bekas timbalan presiden PKR yang juga ahli politik veteran, Dr Syed Husin Ali dalam Twitter membidas Azmin kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak mahu mempertahankan Anwar.

"Dulu bila ditanya tentang gelaran Datuk Seri ditarik balik daripda anwar, Azmin kata no comment. Sekarang, ditanya lagi, dia kata terlalu sibuk. Tak kena!"

Azmin kemudian dilihat membalas Twitter Syed Husin dan berkata: "@syedhusinali kalau nak ikut selera you, semua tak kena!".

Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi semalam dilaporkan berkata, seramai 27 penerima daripada 680 pencalonan saja terpilih menerima darjah dan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-69 Sultan Selangor.

Daripada jumlah itu, dua individu menerima darjah dan bintang kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' dan seorang menerima Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran 'Datuk Setia'.

Selain itu, 24 menerima Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), kedua-duanya membawa gelaran 'Datuk' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi perempuan, katanya seperti dilaporkan Bernama.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-15 pada 23 September lalu, mengakhiri kemelut jawatan itu yang berterusan sejak Januari lalu selepas PKR mendesak Khalid meletakkan jawatan.





Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails