Sunday, December 7, 2014

Berebut Lembu punca UMNO Damansara Dalam bergolak?


Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Abdul Shukur Idrus berkata kumpulan anggota parti yang mengugut untuk keluar parti wajar diambil tindakan pecat.

Katanya, ugutan dari anggota cawangan Damansara Dalam itu bertujuan untuk memalukan Umno dan wajar dikenakan tindakan pecat.

"Kalau dia sudah mahu keluar parti, kita pecat sahajalah dan kita tak terima dia lagi.

"Kalau dia belum keluar, kita boleh panggil dia untuk sesi pendengaran tetapi lebih baik kita pecat sahaja," kata ADUN Kuang itu.

Katanya, sebarang pemecatan hanya boleh dilakukan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Kita boleh buat laporan (kepada MT) dan mereka yang akan membuat keputusan," katanya sewaktu dihubungi Malaysiakini.

Isu lembu korban

Menurut Shukur, laporan yang diterimanya memaklumkan bahawa individu yang berbuat demikian tidak berpuas hati dengan isu agihan lembu korban.

"Saya dimaklumkan yang beliau pernah bertanding AJK (anggota jawatankuasa) bahagian tetapi kalah.

"Kemudian ada masalah kecil dengan masalah pengagihan lembu korban.

"Sekarang, dalam hati dia berniat nak memalukan kita, maka dia melakukan perbuatan itu (mengugut keluar parti)," katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohd Azli Mohd Saad dilaporkan mahu Umno bertegas dengan ugutan 'orang dalam' yang mengugut untuk keluar parti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan sebilangan anggota Umno cawangan Damansara Dalam yang menaikkan kain rentang di bangunan Umno Shah Alam, Kelana Jaya dan PJU.

Kumpulan berkenaan bertindak demikian untuk mencanang rancangan mereka untuk keluar parti beramai-ramai ~ Malaysiakini





Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails