Tuesday, December 23, 2014

1MDB: Najib dilaporkan menemui Tun Mahathir


Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berbincang berhubung kritikan bekas perdana menteri itu mengenai pelabur strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MD), kata sumber.


Perdana menteri bertemu Dr Mahathir pada Sabtu tetapi butir lanjut perjumpaan itu belum didedahkan.

“Ia perjumpaan yang mesra. Perdana menteri berpuas hati dengan pertemuan itu,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.



Perjumpaan itu diadakan selepas bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu berulang kali membangkitkan persoalan mengenai hutang besar dan penggunaan dana di 1MDB menerusi tulisan di blognya dan merungut mengenai operasi 1MDB pada sidang medianya.

Ia juga berlaku ketika ringgit jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), yang menyebabkan sebahagian hutang 1MDB dalam matawang itu semakin membesar.

Hari ini, The Edge Financial Daily melaporkan nilai ringgit yang semakin merosot akan menjejaskan 1MDB, berikutan sebahagian besar daripada keseluruhan RM42 bilion hutangnya dalam mata wang AS.

Bahagian besar berjumlah RM22.25 bilion menurut penyata kewangan 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2014 kini bertambah kepada RM25.7 bilion – penambahan kira-kira RM3.96 bilion – berikutan kejatuhan ringgit 6.5% dalam tempoh 9 bulan lalu.

Bekas perdana menteri itu dalam posting pada September berkata 1MDB membelanjakan berbilion ringgit membeli loji janakuasa daripada Genting dan Ananda Krishnan dan membayar lebih tinggi daripada harga pasaran.

Beliau juga menyelar 1MDB menanggung hutang yang banyak. Ia berhutang kira-kira RM38 bilion hanya selepas beroperasi 5 tahun sebagai dana wang negara.

“Duit untuk 1MDB bukan daripada lebihan wang negara. Ia adalah hutang, hutang berbilion ringgit yang menambah kepada beban hutang sedia ada negara,” tulis Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu pada posting terdahulu berkata beliau menarik balik sokongannya kepada Najib, dan berkata kerajaan berdepan dengan masalah bajet defisit, ia tidak akan ada kemampuan untuk bantu membayar hutang 1MDB.

Katanya, sebahagian besar wang yang dikumpul daripada pengeluaran hutang oleh 1MDB itu dihantar ke Kepulauan Cayman, satu langkah yang dipertikaikan ramai pihak.

Pengkritik bercakap mengenai kurangnya ketelusan bagaimana wang itu diuruskan hingga ke Cayman dan dianggarkan sekurang-kurangnya RM18 bilion wang 1MDB disimpan di sana.

1MDB adalah dana wang kerajaan yang kedua selepas Khazanah Nasional Bhd.

Dr Mahathir juga mempersoalkan mengapa perhimpunan agung Umno yang diadakan pada November lalu gagal membincangkan isu kepentingan awam seperti 1MDB.

Pemimpin Umno cawangan di Pulau Pinang, Datuk Khairuddin Abu Hassan juga membuat laporan polis terhadap 1MDB berhubung aktiviti kewangannya yang meragutkan dan pinjaman yang terlalu banyak.

Bagaimanapun Umno Pulau Pinang cuba untuk tidak terlibat dengan tindakannya itu lapor The Malaysian Insider



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails