Monday, November 24, 2014

Subsidi Beras RM500 Juta.. Tapi Berasnya Mana?


Kekurangan bekalan beras Standard Tempatan dengan 15 peratus beras hancur (ST15) di pasaran didakwa berpunca daripada kegagalan pemantauan kerajaan.

Naib Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiau Leung berkata, ia adalah masalah lama sejak 2011 lagi. 

“Setiap tahun kerajaan berbelanja RM500 juta untuk subsidi beras ST15. Kalau nak dibandingkan dengan subsidi lain, ia adalah jumlah paling besar dibelanja kerajaan untuk pelbagai subsidi beras. 

“Pada 2012, sebanyak RM488 juta duit rakyat digunakan untuk bayar Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi mengeluarkan bekalan beras ST15,” katanya selepas Program Khidmat Kaunter Aduan Bergerak Parlimen Alor Setar, di Pasar Kampung Berjaya, di sini, semalam.

Menurutnya, pada 2013 pula, kerajaan berbelanja RM528 juta kepada Bernas untuk tujuan sama. 

“Baru-baru ini, ada aduan mengenai ketirisan dan aktiviti tukar bungkusan ST15 kepada ST10. 

“Ketirisan disebabkan kecuaian kerajaan dalam memastikan edaran beras sampai kepada pihak betul dan tidak diseleweng,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan menyemak semula senarai pemborong beras, beliau berkata, tindakan itu seperti pengakuan kerajaan bahawa tiada pemantauan terhadap ST15 sebelum ini.

“Kita tidak boleh menyalahkan pendatang asing, peniaga mahupun pemborong. Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lebih 600 pemegang kuota (pemborong) beras ST15 sedia ada, sedang disemak semula bagi proses pemutihan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak timbul soal pembekuan atau bekalan tidak cukup, tetapi berlaku masalah penyelewengan menyebabkan kementerian terpaksa membuat semakan semula lapor Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails