Saturday, November 22, 2014

Sepatutnya penghapusan subsidi bahan bakar dilakukan berperingkat, kata Dr Mahathir


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat subsidi petrol RON95 dan diesel tidak seharusnya dihapuskan serta merta tetapi dilakukan secara beransur-ansur supaya tidak membebankan rakyat.

"Secara umumnya saya bersetuju dengan pengurangan subsidi namun itu hanya pendapat saya sahaja, bagaimanapun penghapusan (subsidi) perlu mengambil masa, apa pun yang kita buat perlu langkah demi langkah," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek semalam mengenai penetapan harga runcit untuk kedua-dua jenis bahan bakar tersebut mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember ini.

Mulai tarikh itu, subsidi bagi petrol RON95 serta diesel akan dihapuskan memandangkan harga kedua-dua bahan bakar tersebut di pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam.

Terdahulu, Dr Mahathir dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Strategik oleh Universiti MAHSA yang disampaikan Canselornya Tun Zaki Tun Azmi sempena majlis konvensyen ke-11 universiti itu.

Seramai 1,250 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dalam bidang masing-masing pada majlis tersebut. – Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails