Sunday, November 16, 2014

Russia Dedah Imej Bukti MH17 Ditembak Jet Pejuang Ukraine


Russia hari ini mengeluarkan bukti imej satelit mengukuhkan dakwaannya bahawa pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh oleh pesawat pejuang Ukraine dan bukannya peluru berpandu dari darat ke udara.

Ia berikutan tersebarnya imej satelit yang menunjukkan peluru berpandu dari jet pejuang disasarkan ke arah pesawat penumpang dengan yang disiarkan oleh stesen televisyen utama Russia sejak malam tadi.

Laporan itu mendakwa gambar itu diambil daripada satelit Amerika Syarikat (AS) atau British.

Penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu terbang melalui ruang udara wilayah bergolak di timur Ukraine ketika ia hilang dari radar.

Seramai 283 penumpang termasuk 80 kanak-kanak dan 15 anak kapal terbunuh dalam tragedi itu.

Penyampai TV, Mikhail Leontiev mendakwa, imej yang diberikan oleh sumber misteri itu menunjukkan bagaimana pesawat pejuang Mig-29 memusnahkan pesawat penumpang Boeing.

Bagaimanapun, Barat berulang kali menyatakan bahawa pesawat itu ditembak jatuh oleh pemberontak pro-Moscow dengan menggunakan sistem peluru berpandu BUK buatan Russia.

Manakala Russia pula mempersoalkan kehadiran pesawat yang tidak dikenali ketika nahas itu berlaku, namun Ukraine dan Barat mendiamkan perkara ini.

Penyampai saluran Kremlin berkata: "Hari ini kita mempunyai semua bukti untuk mengandaikan jenayah itu dilakukan oleh pihak yang sengaja mahu memusnahkan pesawat berkenaan. Dan oleh mereka yang bersungguh-sungguh menyembunyikannya, mempunyai maklumat lengkap mengenai insiden itu."

Rancangan luar biasa itu muncul apabila pemimpin Barat termasuk David Cameron berjumpa dengan Vladimir Putin berhubung nahas MH17 menjelang bermulanya Sidang Kemuncak G-20 di Australia.

Sementara itu, Channel One mendakwa: "Kami mempunyai rakaman yang menarik, kemungkinan diambil dari ruang orbit oleh pengintip satelit asing pada saat akhir MH17 terbang di ruang udara Ukraine."

Laporan sebelum ini menyatakan peluru berpandu BUK sebagai punca kepada tragedi itu.

"Untuk memendekkan cerita, ia kelihatan seperti tidak ada peluru berpandu BUK dan tiada pelancaran dari tanah. Terdapat berpuluh pakar dan ribuan saksi amatur, namun tiada seorang pun yang mengakuinya," dakwa Leontiev.

Naib Presiden Persatuan Jurutera Russia, Ivan Adrievskiy, berkata: "Kami lihat gambar yang diambil daripada ruang angkasa daripada orbit rendah. Kebiasaannya imej berkenaan imej itu diambil untuk tinjauan am udara dan darat.

"Koordinat imej itu bermaksud kita boleh mengandaikan imej itu diambil oleh satelit Amerika atau British.

"Kami telah meneliti imej ini secara terperinci dan tidak menemui sebarang tanda yang membuktikan ia adalah palsu," katanya.

Dalam pada itu, seorang pakar yang mahu dikenali sebagai George Bilt dipetik sebagai berkata pesawat Boeing itu ditembak dari udara menerusi serangan jet pejuang klasik yang disasarkan dari belakang.

Sementara itu, wartawan perang dan jurugambar bagi laman sesawang Foxtrot Alpha, Jalopnik.com, Tyler Rogoway mendakwa imej yang disiarkan dalam stesen TV Russia, 1TV News kononnya jet tempur Ukraine, SU-27 (pihak Russia mendakwa pesawat MiG-29) menembak MH17 ketika ia terbang di ruang udara timur Ukraine adalah palsu sama sekali.

Beliau berkata, imej itu kelihatan seperti paparan skrin yang dipalsukan daripada permainan 'Lock-On Modern Air Combat', simulator pertempuran udara paling popular yang dibuat di Russia dan mempunyai plot atau jalan cerita yang berlaku ke atas Ukraine. Daripada imej satelit sebenar, banyak isu mengenai kesahihan dan ketulenan imej itu.

Pertama, di mana sebenarnya ia datang? TV1 menyatakan ia daripada satelit perisikan asing, bagaimana dengan mudah. Bagaimana resolusi imej itu begitu tinggi untuk objek yang jauh daripada darat tetapi begitu rendah untuk objek di darat?

Dan juga, imej itu diambil dari jarak 50 kilometer dari lokasi nahas MH17 dan 50km untuk jatuh ke darat selepas ia ditembak oleh peluru berpandu. Jika pesawat itu terbang untuk sesuatu tempoh, kira-kira 50km sebelum ia pecah, sudah pasti ramai saksi akan melihat pesawat itu dan kepulan asap atau seumpamanya.

Sesetengah individu yang biasa dengan imej satelit menyatakan bahawa skala pesawat berbanding di darat juga tidak seperti biasa, begitu juga cuaca menunjukkan keadaan yang sebenar ketika itu.

Terakhir dan paling menyedihkan apabila logo 777 di pesawat MAS itu berada pada kedudukan yang salah.

Kesimpulannya, apa yang anda peroleh daripada bukti yang disiarkan adalah bukan saja imej palsu tetapi taktik yang cukup teratur. Hakikatnya Russia membiarkan perkara ini sebagai tanda baru Putin untuk menyebarkan maklumat tidak tepat. - Agensi



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails