Monday, November 17, 2014

Pampasan RM2.6 juta dibayar kepada Pembantu pada saat-saat akhir pemerintahan Khalid rupanya..


Kerajaan negeri Selangor membayar RM2.6 juta pampasan atau “golden handshake” kepada pembantu bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum beliau meletakkan jawatan dua bulan lepas, keputusan yang dibuat pada hari-hari akhir perkhidmatannya.

Dalam dokumen yang dilihat The Malaysian Insider, RM2.27 juta dibayar sebagai pampasan, berserta RM376,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan dikatakan dibayar kepada 8 pembantu Khalid.

Difahamkan bayaran tersebut diluluskan Khalid yang juga merupakan ahli lembaga MBI, serta 4 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) PAS pada 22 September, salah satu tindakan akhirnya sebagai menteri besar.

Dokumen tersebut menunjukkan jumlah terbesar bayaran tersebut diberi kepada Faekah Husin, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI). Beliau didakwa menerima RM581,400 sebagai pampasan dan RM114,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan.

Setiausaha akhbar Khalid, Arfa'eza Abdul Aziz didakwa dibayar RM358,000 pampasan dan RM55,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan sementara setiausaha politiknya Mustapa Mohd Talib didakwa dibayar RM265,000.

Selebihnya didakwa dibayar antara RM97,000 dan RM230,000 masing-masing sebagai pampasan dan di antara RM18,000 dan RM69,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan mereka.

Faekah dan Arfa'eza tidak menjawab sebarang panggilan atau mesej sistem pesanan ringkas daripada The Malaysian Insider, sementara Khalid menafikan sebarang salah laku, mengatakan beliau mengikut prosedur yang betul.

Akhbar harian berbahasa Inggeris The Star melaporkan Khalid sebagai berkata, bayaran tersebut dibuat mengikut Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan kepada pembantu apabila beliau meletakkan jawatan.

Dalam menjawab persoalan mengenai rasional pembayaran tersebut, Khalid berkata, bayaran VSS tersebut hanya kurang 2% daripada rizab MBI yang berjumlah RM112 juta.

Beliau berkata, bayaran tersebut diluluskan ahli lembaga pengarah MBI, termasuk setiausaha kerajaan negeri dan pegawai kewangan negeri, serta exco kerajaan negeri.

Pengganti Khalid, Mohamed Azmin Ali mengakui semalam terdapat elemen salah laku dalam isu itu dan mengatakan MBI akan membincangkan perkara tersebut minggu ini untuk langkah seterusnya yang akan diambil.

Satu sumber memberitahu The Malaysian Insider, penyiasatan awal Jabatan Audit Kerajaan Negeri Selangor mendapati prosedur yang betul tidak diikuti dan bayaran tersebut dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Jabatan tersebut masih lagi melihat aspek lain seperti terma pampasan dan sekiranya ahli lembaga pengarah MBI sedar bayaran yang begitu besar dilakukan.

"Mereka bukannya dipecat, mereka meletakkan jawatan, jadi siapa yang meluluskan jumlah yang begitu besar? Atas dasar apa mereka diberikan pampasan begitu besar dan apakah ianya mengikut prosedur? “Ini antara perkara yang kami sedang lihat dan laporan penuh tentang ini akan dikeluarkan segera," kata sumber tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar menulis di Twitter tentang perkara ini dan menyatakan kebimbangan beliau atas "jumlah yang besar" tersebut dan sama ada prosedur betul diikuti.

"Ini bukan soal betul atau salah, ini soal moral. Ini melibatkan wang rakyat dan persoalan timbul di minda rakyat pada masa itu," katanya dan menambah, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri sepatutnya menyiasat perkara tersebut.

Beliau berkata, tiada sebab bagi pembantu Khalid untuk meletakkan jawatan, kerana mereka boleh saja meneruskan tanggungjawab sehingga menteri besar yang baharu membuat keputusan.

PKR memecat Khalid pada Ogos apabila gagal menghadirkan diri ke pendengaran jawatankuasa disiplin tentang perjanjian penstrukturan semula air di Selangor, penyelesaian hutangnya dengan Bank Islam dan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Semua ini berlaku semasa kemelut jawatan menteri besar Selangor bermula awal tahun ini, apabila kepimpinan PKR mahukan beliau meletakkan jawatan untuk memberlaluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kemelut itu berakhir apabila timbalan presiden PKR, Azmin dilantik sebagai menteri besar yang baharu pada September lalu ~ The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails