Tuesday, November 11, 2014

NFCorp diminta salahkan diri sendiri, jangan salahkan pihak lain..


Ahli Perniagaan, Datuk Shamsubaharin Ismail ingin menegaskan supaya pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail tidak menyalahkan kerajaan dengan kegagalannya membayar balik pinjaman RM250 juta.

Menurutnya beliau merujuk kepada kenyataan Salleh dalam akhbar The Star yang bertarikh 7 dan 10 November berkenaan NFCorp telah menyalahkan kerajaan dan ini satu tindakan yang tidak wajar.

“Alasan yang dia (Salleh) berikan, alasan tak betul, dia kata tidak boleh membayar pinjaman yang dipinjamkan oleh kerajaan kerana aset dan duit NFCorp telah dibekukan oleh kerajaan.

“Pada saya, sewaktu kerajaan meluluskan pinjaman itu, untuk beliau membawa lembu masuk. Dia patut bawa masuk minimum 10,000 ekor lembu sebulan. Tetapi NFCorp telah gagal, dengan beri alasan kerajaan tidak beri infrastruktur penyembelihan lembu bertaraf dunia,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Central.

Tambah beliau, pihak kerajaan telah memperuntukkan pinjaman sebanyak RM250 juta kepada NFCorp iaitu kepada keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang diketuai oleh Salleh untuk mengurangkan kos mengimport lembu dari luar negara.

Namun beliau beri alasan kegagalan kerajaan menyediakan infrastruktur penyembelihan lembu punca NFCorp tidak mampu bayar balik pinjaman wang kepada kerajaan.

Tegas Shamsubahrin, mengapa perlu tempat penyembilahan lembu antarabangsa sedangkan di Malaysia sendiri mempunyai tempat penyembelihan yang dijamin kebersihannya.

“Di Malaysia setiap negeri ada tempat penyembelihan yang menyembelih lembu sebanyak hampir 300 ekor sehari dan sudah 25 tahun tiada masalah.

“Lebih baik menaiktaraf tempat penyembelihan lembu yang sedia ada daripada menyediakan tempat penyembelihan bertaraf antarabangsa,” jelasnya.

Ujarnya, kerajaan tidak perlu tutup NFCorp dan sepatutnya diberi kepada pihak yang selayaknya untuk mengemudikan syarikat tersebut.

“Hal ini kerana jika pengurusan yang betul dibuat oleh, NFCorp ini ia boleh menjadi syarikat yang besar seperti Felda dan Petronas.

“Saya juga mencadangkan kerajaan dan NFCorp bekerjasama dengan syarikat penternakan lembu daripada Afrika Selatan kerana mereka mempunyai idea untuk mengembangkan lagi penternakan lembu tersebut,” katanya.

Jelasnya, beliau pernah menyarankan kepada Salleh dan telah membincangkan dengannya mengenai syarikat dari Afrika Selatan berkenaan, namun Salleh ego dan tidak mahu menerima cadangannya.

“Kesannya, NFCorp tidak berjaya dan menyalahkan kerajaan. Jika Salleh kerjasama dengan syarikat dari Afrika Selatan berkenaan, NFCorp mampu membayar hutangnya dalam masa tiga tahun.

“Saya mencadangkan kerajaan supaya menjalinkan urusan dengan syarikat daripada Afrika Selatan itu supaya NFCorp dapat terus beroperasi dengan baik,” ujarnya ~ Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails