Wednesday, November 5, 2014

MAS akan diistihar muflis?


Cadangan penswastaan Malaysia Airlines (MAS) adalah penting bagi kelangsungan seterusnya syarikat penerbangan tersebut dan pemegang saham minoriti perlu menerima 27 sen sesaham yang ditawarkan kepada mereka pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan datang, kata penganalisis di sebuah firma penyelidikan.

Ahmad Maghfur Usman, Penganalisis Pengangkutan Serantau di Institut Penyelidikan RHB, berkata:"Pada dasarnya, MAS kini semakin bermasalah, dan pemegang saham tidak akan mendapat semula pelaburan mereka.

"Justeru, bagi pemegang saham minoriti, lebih baik menerima tawaran 27 sen sesaham itu daripada tangan kosong.

"Langkah penyelamatan bagi MAS ketika ini ialah penswastaan dan tanpa cara sedemikian, pilihan lain ialah dengan mengisytiharkannya muflis," kata Ahmad Maghfur.

Beliau memberikan senario itu untuk difikirkan oleh pemegang saham minoriti menjelang EGM yang penting pada 6 Nov ini.

Ahmad Maghfur berkata jika EGM mengundi menentang penswastaan, Khazanah Nasional Bhd yang memiliki pegangan saham majoriti dalam MAS, tidak akan menyuntik dana, menjadikan sukar bagi syarikat penerbangan itu untuk melaksanakan penstrukturan semula.

Khazanah Nasional pada Ogos telah mengumumkan pelan penstrukturan semula 12 Perkara membabitkan kos RM6 bilion untuk menyelamatkan MAS dan RM1.4 bilion akan dibayar kepada pemegang saham minoriti, jika mereka mengundi bagi menerima tawaran 27 sen itu.

Ia seterusnya akan memberi laluan bagi penyahsenaraian MAS daripada Bursa Malaysia.

"Muflis adalah sangat mencabar. Ini juga akan menjadi senario terburuk bagi pemegang saham minoriti yang akan memberi tekanan kepada harga saham, misalnya. MAS tidak akan lagi diniagakan pada paras yang sama.

"Justeru, saya menggesa pemegang saham minoriti, menentukan keutamaan mereka pada EGM itu nanti," kata Ahmad Maghfur.

Beliau memberitahu BERNAMA bahawa tawaran 27 sen itu merupakan 'harga yang menarik', dengan mempertimbangkan semua aspek, dan keadaan sukar yang dilalui MAS sekarang.

"Ia merupakan tawaran yang menarik. Bagi pemegang saham minoriti, ia merupakan tawaran jalan keluar yang menarik," kata penganalisis itu.

Beliau berkata penswastaan MAS sebenarnya akan memastikan peralihan yang lancar bagi penstrukturan semula, dan melindungi pelabur daripada terdedah kepada kerugian yang teruk.

"Ini adalah alasan yang baik kenapa pemegang saham minoriti perlu menerima tawaran tersebut," katanya.

Penyahsenaraian, kata Ahmad Maghfur, merupakan langkah pertama yang diperlukan untuk penstrukturan semula, yang berbeza kes sebelum ini apabila Petronas menswastakan Malaysian International Shipping Corporation (MISC).

"MISC merupakan landskap yang berbeza ketika itu yang berjaya melupuskan bahagian kapal kontena yang mengalami kerugian. Industri perkapalan pada ketika itu berada di paras bawah sekali pada kitarannya dan hanya boleh meningkat," katanya ketika mengingati kembali langkah yang dibuat pada 1990-an itu.

Ahmad Maghfur berkata dalam kes MAS, keadaan sangat berbeza berikutan syarikat penerbangan itu menghadapi persaingan yang sangat agresif.

Beliau menegaskan bahawa tiada asas bagi pemegang saham minoriti untuk menuntut lebih daripada 27 sen seperti yang ditawarkan itu.

"Prospek MAS masih sangat mencabar. Sejak pengumuman mengenai penstrukturan semula itu, saya tidak melihat sebarang perubahan yang bermakna daripada segi perancangan.

"MAS masih menawarkan diskaun dan sebagainya dan ia akan menjadi senario yang buruk bagi tempoh dua suku akan datang daripada segi pendapatan," kata Ahmad Maghfur.

Berdasarkan persaingan yang hebat dalam industri, beliau berkata pemegang saham minoriti perlu bersedia menghadapi keadaan yang sangat sukar dalam tempoh empat dan lima tahun akan datang jika tidak dibuat penstrukturan semula, selain melahirkan keyakinan bahawa majoriti daripada mereka akan mengundi untuk menerima tawaran tersebut.

Beliau berkata apa yang sangat penting bagi MAS ialah kembali mencatat keuntungan, dan berhubung perkara ini, beliau menyambut baik pelan mengurangkan kakitangan sebanyak 30 peratus, walaupun ini akan melibatkan pampasan sebanyak RM1.2 bilion.

"Bagi MAS, jika ia berupaya mengurangkan jumlah kakitangan sebanyak 30 peratus, anda melihat kepada penjimatan tahunan kira-kira RM700 juta.

"Berdasarkan perkara itu dan mengandaikan penswastaan ini berjaya, penjimatan faedah daripada hutang kepada penukaran ekuiti, turut akan meningkatkan pendapatan," kata Ahmad Maghfur.

Beliau berkata bagi kakitangan MAS, ia merupakan tempoh peralihan yang sukar dengan kemungkinan mereka akan kehilangan pekerjaan, namun Khazanah Nasional menyediakan pelan sokongan bagi kakitangan yang diberhentikan untuk diserap ke dalam peluang pekerjaan lain.

"Ini adalah baik berikutan mereka akan diberi pampasan yang sewajarnya. Terdapat juga potensi bagi peluang pekerjaan lain, dan ia tidak semestinya dalam perniagaan syarikat penerbangan," katanya. --BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails