Saturday, November 15, 2014

Malaysia belanja besar untuk pendidikan, tapi kualiti masih rendah, kata Ku Li


Walaupun berbelanja besar bagi sektor pendidikan, Malaysia menghasilkan pelajar kurang bermutu jika dibandingkan pencapaian pelajar negara yang setaraf dengannya dari segi pendapatan dan kuasa beli, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, perbelanjaan per kapita Malaysia dalam sektor pendidikan begitu tinggi, lebih dari negara jiran dalam Asean, malah lebih banyak dari Korea Selatan dan Jepun.

"Mutu pencapaian negara kita mengikut ujian Program Pencapaian Pelajar Antarabangsa (Pisa), satu ukuran antarabangsa, pada puratanya lebih rendah dari apa yang kita harapkan dalam menuju kepada ekonomi yang berasaskan ilmu.

"Keputusan ini menunjukkan pelajar kita yang berumur 15 tahun menampakkan mereka ini berkedudukan 3 tahun lebih ke belakang jika dibandingkan dengan mereka pada umur sama daripada Singapura, Korea Selatan, China, Jepun dan termasuk daripada Vietnam yang dahulunya di belakang kita," kata bekas menteri kewangan itu yang lebih dikenali sebagai Ku Li.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah Kolej Yayasan Saad di Melaka hari ini.

Katanya, sistem pendidikan Malaysia, sama ada di peringkat rendah, menengah atau tinggi, bergantung kuat kepada sistem berasaskan peperiksaan, bukan berasaskan pembelajaran, “discovery” dan pemikiran kritikal.

"Sebagai perbandingan, dalam ujian TIMMS (Trends in International Mathematics and Science Study) bagi pencapaian matematik, Malaysia jatuh dari 520 dalam tahun 1999 kepada 440 bagi tahun 2011.

"Dan dalam TIMMS bidang sains, kedudukan kita menurun dari 510 dalam tahun 2003 kepada 426 tahun 2011 – menurun, bukan naik!" katanya.

Putrajaya memperuntukkan sejumlah lebih RM56.7 bilion bagi perbelanjaan pendidikan dalam Bajet 2015, jumlah terbesar antara semua bidang belanjawan lain. Dari jumlah itu, 21% untuk pengajian tinggi.

"Sangat nyatalah dari statistik yang diajukan ini, kerajaan Malaysia memang memberi tekanan kuat terhadap perbelanjaan pendidikan.

"Malangnya, perbelanjaan pendidikan yang tinggi ini dibandingkan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tidak berbaloi, sekurang-kurangnya tidak memberi pulangan terhadap kualiti atau peningkatan penghasilan mutu dalam pendidikan," kata Ku Li.

Beliau berkata, dari segi perbelanjaan per kapita, Malaysia membelanja empat kali ganda bagi pendidikan tinggi berbanding pendidikan rendah dan menengah.

Manakala, dari segi pulangan kepada pelaburan, ratio atau dividen pendidikan, kerajaan katanya, harus memberi tekanan lebih kepada pendidikan rendah dan menengah, terutamanya yang boleh meningkatkan kemahiran.

"Dengan cara demikian, kedudukan ekonomi negara akan lebih baik jika taraf pendidikan kalangan tenaga kerja negara bertambah tinggi.

"Inilah satu-satunya cara menaikkan negara ke taraf ekonomi bergaji tinggi, melalui peningkatan produktiviti. Bukan semata-mata mengejar ekonomi berpendapatan tinggi bagi mencapai status negara maju," katanya.

Ku Li turut berkata, hal ini kerana lebih 85% penduduk Malaysia merupakan golongan pekerja yang makan gaji, bukan pemilik harta atau bekerja sendiri.

Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia, tahap produktiviti pekerja negara ini jauh lebih rendah daripada negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Korea Selatan dan Singapura.

"Purata pekerja Malaysia mencatatkan nilai produktiviti hanya sebanyak RM43,952 setahun.

"Berbanding pekerja Amerika Syarikat mengungguli senarai dengan tahap produktiviti sebanyak RM285,558 setahun, diikuti pekerja di Jepun RM229,568 dan Hong Kong RM201,485.

"Ini bermakna, pekerja Malaysia bekerja dalam tempoh yang lebih panjang berbanding negara lain, namun menghasilkan pulangan yang lebih rendah," katanya.

Malah, beliau turut berkata, 80% dari tenaga kerja seluruh Malaysia mempunyai kelayakan pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ku Li turut menyuarakan kebimbangannya berkenaan kedudukan mutu penghasilan pelajaran negara kita.

"Memandangkan hal ini pada keseluruhannya, tidak hairanlah kerajaan kita perlu menumpukan perhatian yang lebih kritikal dalam hal belanjawan dan kesannya ke atas pencapaian dan mutu pendidikan di negara kita ini.

"Usaha ini terdapat dalam bentuk Blueprint Transformasi Pendidikan yang dilancarkan kerajaan awal tahun ini. Saya berdoa semoga usaha ini berjaya mencapai sasaran demi kepentingan ekonomi dan generasi akan datang," katanya.

Beliau menambah, Putrajaya juga perlu mengkhusus bukan saja kepada prasarana yang baik, tetapi juga kepada keberkesanan kurikulum dan proses pengajaran serta pembelajaran, dan kualiti guru yang mengajar.

Katanya, proses pembelajaran sangat penting bagi seseorang pelajar kerana ianya mempengaruhi bagaimana mereka boleh mencapai kemajuan, sambil menambah, pembelajaran “rote learning” tidak membantu.

"Kita hantar anak-anak kita belajar, tidak ada lain sebab, (tetapi) supaya dia akan disediakan dengan ilmu dan kepandaian untuk berjaya apabila lulus persekolahan atau universiti.

"Tetapi, pembelajaran 'rote learning' atau membabi buta sahaja tidak akan membolehkan pelajar meningkatkan daya fikir dan daya penyelesaian masalah yang amat penting bagi dunia kerjaya kelak, dan bagi menjadikan pelajar itu warga yang berfikir, berdisiplin dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga mengingatkan guru dan ibubapa agar tidak terlalu mengagungkan pencapaian 'semua A' dalam peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia ~ The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails