Monday, November 17, 2014

Kutipan zakat 2013 cecah RM2.2 Bilion.. tak cukup, sikit saja tu kata Jamil Khir


Kutipan keseluruhan zakat bagi 2013 mencecah RM2.2 bilion, meningkat daripada tahun sebelumnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu masih sedikit berbanding nisbah pembayar yang layak dan ia tidak mencukupi bagi menampung jumlah penerima zakat yang juga meningkat.

"Walaupun jumlahnya nampak agak besar, jumlah penerima lagi besar daripada peruntukan sedia ada.

"Lebih-lebih lagi jumlah penerima asnaf di bawah kategori fakir dan miskin, belum dicampur lagi kategori fisabilillah (termasuk mereka yang mengajar agama seperti imam) dan mualaf," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Bulan Zakat Kebangsaan (BZK) 2014 di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan data yang dijumlahkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) pada 2012, kutipan zakat kesemua 14 negeri ialah sebanyak RM1.9 bilion.

Justeru, Jamil Khir berkata Majlis Agama Islam Negeri perlu melaksanakan pendekatan inovatif serta memainkan peranan lebih proaktif untuk menyemarakkan lagi pengurusan zakat.

"Tidak boleh tunggu semata-mata, kena pergi jumpa, bertemu dan minta mereka yang berkenaan memberi perhatian tentang pembayaran zakat," katanya.

Terdahulu ketika berucap, Jamil Khir berkata bank data penerima zakat setiap negeri juga perlu sentiasa dikemas kini agar pengurusan zakat lebih mudah dijalankan.

Pada majlis berkenaan, Jamil Khir turut menyampaikan Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan 2014 kepada lima penerima bagi setiap kategori.

Pemenang Kategori Akademik ialah Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hasanulddin Mohd; pemilik Restoran Nasi Ayam Hainan BP, Mohd Sharif Foo Abdullah (Usahawan); pemilik syarikat Azmi Rehabilitation Tools, Azmi Zain (Usahawan Khas); Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (Syarikat Sdn Bhd) dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Inovasi Zakat Terbaik).

Program tahunan yang kali ini bertemakan "Transformasi Baitulmal: Zakat Diperkasa Ummah Sejahtera" itu, antara lain bertujuan menyebar luas informasi berkaitan amalan berzakat dan mengenal pasti potensi serta cabaran semasa bagi pentadbiran zakat negara ~ MalaysiaGazette

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails