Sunday, November 16, 2014

Kemana Ahli Parlimen Cameron Highlands menghilang?


Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel didesak supaya bangkit dari terus mendiamkan diri dan segera memberi penjelasan terperinci kepada pihak-pihak berkaitan termasuk jemaah menteri berhubung masalah di kawasan diwakilinya itu terutama melibatkan isu kebanjiran warga asing dan penerokaan tanah secara haram.

Pengerusi Strategik MIC, Datuk Seri S.Vell Paari berkata, sikap Presiden MIC itu yang seolah-olah membisu seribu bahasa mencetuskan persoalan serta kekeliruan kerana beliau seharusnya menyuarakan pandangan dan memberikan penjelasan terhadap isu dan masalah rakyat di Cameron Highlands.

“Di manakah ‘hilangnya’ Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar? Beliau perlu menjelaskan isu kebanjiran warga asing dan pencemaran alam sekitar di pusat peranginan berkenaan sehingga berlaku insiden banjir lumpur.

“Beliau juga perlu memberi penjelasan menyakinkan dalam isu berkenaan dengan mengemukakan laporan hitam putih segera,’’ katanya kepwda Malaysia Gazette hari ini.

Baru-baru ini media membuat pendedahan yang mengundang rasa terkejut dan marah berhubung kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Cameron Highlands yang melakukan pelbagai aktiviti termasuk kegiatan ekonomi seperti menyewa kebun, mengupah warga asing bekerja dan membuka kedai runcit.

Penerokaan tanah secara haram turut dilaporkan berlaku di pusat peranginan itu secara berleluasa sehingga menjejaskan alam sekitar dan mendorong berlakunya tanah runtuh serta banjir lumpur.

Malaysia Gazette turut difahamkan bahawa para pengundi di Cameron Highlands kini marah dengan Palanivel kerana wakil rakyat itu didakwa tidak pernah melawat dan mendengar masalah setempat penduduk di situ sejak menang kerusi tersebut.

“ Palanivel sepatutnya bersikap proaktif dan berganding bahu dengan kepimpinan kerajaan negeri Pahang supaya mereka tidak terkapai-kapai keseorangan dalam menangani masalah dihadapi di kawasan tersebut. Bukankah Palanivel begitu beria-ia mahu bertanding di situ sebelum ini? Mahu memperjuangkan nasib di kawasan itu.

Vell Paari juga mempersoalkan sikap Palajivel yang suka mendiamkan diri dan lebih gemar bercakap tentang perkara-perkara lain jika sesuatu masalah timbul melibatkan penduduk di kawasan Parlimennya.

Vell Paari berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dan drastik terhadap pesalah yang terlibat dalam penerokaan tanah, pembalakan haram dan pembuangan sampah sehingga mengakibatkan bencana alam di Cameron Highlands.

“Pihak yang bertanggungjawab perlu mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan langkah menubuhkan satu jawatankuasa khas oleh kerajaan adalah keputusan yang tepat. Kita tidak boleh lepas tangan dan membiarkan pihak bertanggungjawab itu terlepas begitu sahaja. Heretlah yang bersalah ini ke muka pengadilan," katanya.

Beliau turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa amalan rasuah, pencerobohan dan penerokaan haram itu mesti dihentikan manakala kerajaan perlu menunjukkan bahawa mereka adalah pihak berkuasa dan undang-undang yang ada mesti dikuatkuasakan. - MalaysiaGazette

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails