Thursday, November 27, 2014

Kekal Akta Hasutan Bukti UMNO Kerajaan Yang Menepati Janji kata Najib (Video Inside)


Najib berkata, akta itu akan diperkukuh dengan menambah peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menuntut pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

"Sebagai perdana menteri, saya memutuskan Akta Hasutan akan terus dikekalkan, malah akta ini akan dipertahan dan diperkukuhkan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

"Akta ini akan dikuatkuasakan secara adil supaya kita benar-benar mewujudkan Malaysia yang lebih aman, stabil dan harmoni," katanya lagi.

Najib berkata, Akta Hasutan akan terus dikekalkan selepas dipertimbangkan dan mendapat nasihat semua pihak walaupun pernah berjanji sebelum ini untuk memansuhkan akta penjajah tersebut.

"Setelah saya dengar pandangan pemuda dan puteri, akar umbi dan NGO, saya mengumumkan Akta Hasutan akan terus dikekalkan," katanya.



Dengan keputusan terbaru itu, beliau mengatakan hari ini, ia juga bererti, "apa-apa jua perkataan, perbuatan mahupun ucapan yang bersifat menghasut serta menghina Islam, Melayu dan Raja-Raja akan kita halang dan kita tentang habis-habisan."

Perdana menteri turut memberi jaminan akan tetap membela perjuangan masyarakat Melayu dan berjuang bagi mengelakkan Melayu terbangsat di bumi sendiri.

"Ketahuilah, saya berdiri di sini, tidak sama sekali sekadar perdana menteri, saya juga berdiri di hadapan ini, bukan setakat presiden Umno, tetapi saya berdiri dan berbicara di hadapan saudara sekalian, sebagai penyambung lidah dan warisan perjuangan Melayu Bumiputera.

"Dari itu, mana mungkin, saya sanggup membiarkan keturunan dan bangsa saya melarat, terhina, hingga terbangsat menjadi celaka di tanah sendiri," katanya.

"Berkait itu, saya akan terus komited dalam memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera. Bukan sekadar di bibir, tetapi saya dan rakan-rakan dalam parti serta kerajaan, melakukan segala yang termampu untuk membuktikannya."

Komitmen itu katanya, akan ditunjukkan bersama rakan-rakan pimpinan dengan komitmen untuk bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap bulan demi menjamin hala tuju dan agenda pemerkasaan ekonomi Melayu serta Bumiputera diteruskan.

"Bahkan, kita akan menunaikan setiap apa yang dijanjikan semasa ucapan saya di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun lepas, satu persatu," katanya merujuk ucapan beliau pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di UiTM Shah Alam pada September tahun lepas.

"Sesungguhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tunjangan Umno adalah kerajaan yang menepati janji." lapor The Malaysian Insider

Kerajaan yang menepati janjilah sangat...

Najib pada 11 Julai 2012 berkata, Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada program transformasi kerajaan.

Tengok video kat bawah ni dan dengar betul-betul apa Najib kata pada minit ke 1:40




Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails