Friday, November 14, 2014

JPJ teruskan operasi lampu strob, HID, nombor plat


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneruskan operasi bagi penguatkuasaan lampu HID dan lampu strob seperti yang ditetapkannya pada 1 November lepas.

Menurut JPJ, operasi nombor pendaftaran pula akan diteruskan dengan memberi fokus hanya terhadap pesalah yang melanggar undang-undang secara serius sahaja.

"Penguatkuasaan dalam memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang berkaitan dengan nombor pendaftaran, lampu HID dan strob adalah berlandaskan keutamaan terhadap pengguna jalan raya.

"Dengan ini, JPJ akan meningkatkan usaha advokasi untuk memastikan masyarakat memahami akan pentingnya mematuhi garis panduan ini," kata JPJ dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu penting kerana maklumat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunjukkan kesalahan seperti melanggar had laju, melanggar lampu isyarat merah, penggunaan telefon sewaktu memandu dan lain-lain kesalahan memberi kesan kepada keselamatan pengguna jalan raya.

"Kamera penguatkuasaan pada masa ini tidak mampu mengesan pesalah-pesalah yang menggunakan nombor pendaftaran yang tidak menepati spesifikasi," katanya. - Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails