Thursday, November 6, 2014

Gara-gara Baling Batu Rumah Menteri, Penganggur Dipenjara Empat Bulan..


Gara- gara membaling batu hingga memecahkan cermin tingkap rumah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, seorang penganggur hari ini dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Marmi Zabrin Mian, 31, turut dihukum penjara lima bulan atas kesalahan sama (membaling batu) sehingga memecahkan pintu kaca sebuah balai polis.

Dia mengaku bersalah atas kedua-dua kesalahan khianat tersebut. Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 17 Sept lepas.

Bagi kesalahan pertama Marmi, didakwa melakukan perbuatan tersebut sehingga memecahkan cermin tingkap rumah Jamil Khir, melibatkan kerugian RM400 di Jalan Ipoh, di sini pada 7.20 pagi, 10 Mei lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kerugian RM500 dan didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Balai Polis Batu Taman Koperasi Fasa 2, di sini, pada 2.30 pagi, 12 Sept lepas.

Marmi didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ketika merayu, Marmi hanya memohon maaf berulang kali dan berharap diberi hukuman paling ringan kerana perlu menjaga ibu bapa yang uzur berusia 70-an.

 Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling. -- BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails