Saturday, November 22, 2014

Gagal rampas Selangor, Noh salahkan pertambahan pengundi pulak..


Selepas dikritik hebat kerana gagal merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Noh Omar hari ini mendakwa pertambahan pengundi baru di Selangor semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu mencurigakan.

Menurut pengerusi badan perhubungan Umno Selangor itu, pertambahan jumlah pengundi baru yang mendadak itu kemungkinan disengajakan sesetengah pihak.

‎"Dalam PRU lepas, pertambahan pengundi ‎di Selangor terlalu mendadak, ada sampai 15,000 hingga 19,000 namun sebelum ini kita tidak pernah buat bantahan," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Sunathon di Tanjung Karang, Kuala Selangor hari ini.

‎"Mulai hari ini, Umno Selangor akan buat bantahan kalau ada pengundi baru yang mencurigakan. Kadang kala kita seronok tambah pengundi, namun daftar pengundi tidak buat. Mungkin pihak tertentu sengaja hendak pindah undi, itu yang kita mahu jaga."

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, Umno Selangor akan memantau pertambahan atau pengurangan pengundi baru sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Untuk senarai negeri, Umno Selangor mencapai kedudukan tangga keenam bagi pertambahan pengundi di bawah parti," katanya.

Semasa PRU13, PR memenangi 59.4% undi popular di negeri Selangor dan dilihat mempunyai kelebihan dalam pilihan raya akan datang.

Di Selangor, PKR memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP 15 dan PAS 15, manakala Umno hanya memenangi 12 kerusi.

Prestasi hambar Umno Selangor menyebabkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa ianya dirombak semula.

Menurut Dr Mahathir, Umno Selangor perlu dibubarkan dan pucuk pimpinannya perlu diubah kerana menyekat muka baru menyertai parti Melayu terbesar itu.

Bagaimanapun Noh hari ini menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan Umno Selangor antara yang menyahut seruan transformasi Datuk Seri Najib Razak dengan menampilkan muka baru ketika pemilihan tahun lalu ~ The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails