Wednesday, November 12, 2014

1BestariNet: YTL jana RM50 juta setahun , tapi Putrajaya denda hanya RM2.4 juta?


Kegagalan YTL Communications Sdn Bhd (YTLC) menyediakan perkhidmatan 1BestariNet kepada 10,000 sekolah hanya dikenakan denda RM2.4 juta tetapi syarikat berkenaan menjana hampir RM50 juta setahun akibat kecuaian kontrak, kata Zairil Khir Johari.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Februari tahun ini memutuskan untuk mengenakan sewa token kepada menara Sistem Penerima Bersepadu 1BestariNet (1BRIS) pada kadar RM1,000 setahun sedangkan sewa sebenar yang disyorkan ialah RM1,200 sebulan.

“Salah satu kontroversi yang dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara ialah pemasangan 1BRIS. Bagi sekolah tanpa struktur LAN, menara 1BRIS dipasang di premis itu untuk menerima dan menyampaikan isyarat tanpa wayar berkelajuan tinggi.

“Dengan sebanyak 3,203 menara 1BRIS dipasang di seluruh negara, pendapatan sewa pada harga RM1,200 sebulan atau RM14,400 setahun adalah RM46.12 juta setahun.

“Pada masa ini, YTL hanya membayar RM3.2 juta setahun. Ini bersamaan dengan kerugian pendapatan sebanyak RM42.92 juta setahun bagi kementerian,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Zairil berkata, YTLC enggan membayar sewa RM1,200 sebulan sebagaimana yang disyorkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sebaliknya mendakwa syarat kontrak membenarkan mereka untuk memasang menara secara percuma.

Katanya, berdasarkan jumlah yang baru, YTLC membayar jumlah yang tertunggak RM2,416.67 bagi setiap tapak dari 1 Mei 2012 hingga 30 Jun 2014 termasuk deposit tiga bulan.

“RM1,000 setahun adalah jauh berbeza daripada RM1,200 sebulan yang disyorkan JPPH. Malah, Laporan Ketua Audit Negara menyatakan kadar tersebut tidak munasabah.

“Laporan Ketua Audit Negara juga mendapati berdasarkan kontrak yang dipersetujui antara kementerian dan YTLC, semua caj utiliti yang berkaitan dengan 1BestariNet dan 1BRIS adalah ditanggung oleh kerajaan sepanjang tempoh kontrak, sementara kontraktor hanya bertanggungjawab untuk kos yang berkaitan dengan pemasangan, penyelenggaraan dan pengurusan 1BRIS,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata berdasarkan jawapan kepada Pejabat Ketua Audit Negara, KPM mengakui pemasangan menara 1BRIS telah meningkatkan kos elektrik sekolah daripada RM150 hingga RM180 sebulan.

Katanya, bagi 3,203 tapak 1BRIS di seluruh negara, peningkatan caj elektrik adalah antara RM5.77 juta hingga RM6.92 juta setahun atau dengan kata lain, jumlah ini merupakan subsidi kerajaan untuk kepentingan YTL.

“Menurut Laporan Ketua Audit Negara, kerajaan hanya melanggan perkhidmatan YTLC dan tidak seharusnya dibebani dengan caj utiliti, yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada kos operasi penyedia perkhidmatan.

“Akibat kelemahan dalam kontrak 1BestariNet yang jelas berat sebelah, YTLC akan memperolehi keuntungan hampir RM50 juta setahun.

“Selama tempoh masa 15 tahun projek ini, YTL bakal mendapat keuntungan tambahan sebanyak RM750 juta. Ini tidak termasuk keuntungan daripada penggunaan komersial menara 1BRIS,” katanya.

Zairil berkata, berdasarkan laporan sebuah portal berita pada Mei tahun lalu, Pengarah YTL Yeoh Seok Hong mendakwa menara di sekolah bukan saja menyediakan sambungan Internet tanpa wayar di sekolah, tetapi di sekitar kawasannya juga.

“Dengan kata lain, menara 1BRIS juga akan menyediakan perkhidmatan komersial jalur lebar YES 4G kepada penduduk sekitarnya, sekaligus memungkinkan YTLC untuk meraih keuntungan tambahan,” katanya.

Beliau berkata, YTLC mendapat faedah yang ketara menerusi projek 1BestariNet sementara pembayar cukai Malaysia kerugian akibat perjanjian kontrak yang berat sebelah.

Katanya, hanya ada dua penjelasan bagi kontrak yang berat sebelah sama ada kerajaan dan peguamnya berlaku cuai kerana bersetuju dengan perjanjian tersebut atau perjanjian itu dibentuk sedemikian rupa untuk menguntungkan syarikat kroni.

“Dalam konteks ini, denda RM2.4 juta yang dikenakan kementerian ke atas YTLC tidak bermakna berbanding ratusan juta ringgit keuntungan yang bakal diperolehi YTL akibat kelemahan kontrak serta perkhidmatan Internet komersial, di samping apa-apa keuntungan daripada projek tersebut,” katanya lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails