Tuesday, October 21, 2014

Program ‘I Want To Touch A Dog’ disalah tafsir, Ustaz Iqbal mohon maaf


Mohd Iqbal Parjin, penceramah agama dalam program "I Want to Touch A Dog" di Petaling Jaya pada Ahad lepas, mengakui terlepas pandang berkenaan program itu yang ditafsir setengah pihak menggalakkan komuniti Melayu memegang anjing.

Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam program itu, beliau memohon maaf atas apa yang berlaku dan menasihatkan penganjur program lebih menghormati sensitiviti masyarakat setempat pada masa akan datang.

Dalam status Facebooknya hari ini, Iqbal yang menggunakan nama Abu Zulfaqar berkata, beliau dilaporkan sebelum ini seolah-olah menyokong tindakan umat Islam memegang anjing tanpa sebab.

Hakikatnya, beliau tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian.

"Saya akui saya terlepas pandang program ini disalah tafsir malah diambil kesempatan oleh setengah pihak untuk menggalakkan masyarakat Melayu awam bermesra-mesra dengan anjing tanpa sebab.

"Saya tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku seolah-olah saya yang menggalakkannya," katanya.

Iqbal berkata, beliau memenuhi undangan kuliah ilmu itu bagi menjelaskan hukum menyentuh anjing mengikut mazhab Syafie dan seperti mana dinyatakan dalam fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Saya memenuhi jemputan ini dan menjelaskan kepada yang hadir mengenai hukum-hakam yang jelas menurut mazhab Syafie, seperti yang terdapat dalam fatwa Jakim.

"Saya ingin jelaskan di sini, saya tidak bersetuju dengan aksi peluk, cium anjing yang dilakukan pada hari tersebut oleh peserta program.

"Saya juga jelas menerangkan tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu," katanya yang sebelum itu difahamkan tempat perkongsian ilmu diasingkan daripada tempat anjing berkumpul.

Iqbal dalam slot ilmu ketika berlangsungnya program itu dilaporkan berkata: "Anjing juga makhluk Tuhan. Kita perlu mengatasi mentaliti melihat haiwan sebagai makhluk yang menyakitkan hati. Mengajar anak muda untuk mencintai orang lain, tetapi pada masa yang sama, tahu batasan untuk menyentuhnya."

Disebabkan kekeliruan itu, beliau membuat permohonan maaf.

"Saya memohon maaf secara terbuka di atas segala kecelaruan dan kepincangan yang berlaku. Iktibar dan pelajaran yang berharga saya peroleh daripada apa yang berlaku.

"Saya mengharapkan program ini pada masa hadapan dapat dilakukan dalam suasana yang lebih menghormati sensitiviti masyarakat setempat," katanya.

Iqbal berkata, beliau memenuhi undangan penganjur program berkenaan, yang menerima kecaman banyak pihak termasuk pihak berkuasa agama selepas dimaklumkan yang ia mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

"Pada awalnya, penganjur program Syed Azmi,menjemput saya untuk mengisi slot ilmu. Saya berasa ini adalah peluang baik untuk menyampaikan mesej Islam kepada Muslim dan non-Muslim dan Alhamdulillah, sehingga kini mereka masih menghubungi saya untuk bertanyakan perihal Islam dengan lebih lanjut," katanya.

Mais bagaimanapun dikatakan menafikan memberi kebenaran kepada program berkenaan.

"Terima kasih di atas segala kritikan dan teguran yang membina. Saya yakin segalanya ada hikmah daripada Allah.

"Semoga dengan pengalaman ini mematangkan lagi diri saya dalam liku-liku perjuangan dakwah," kata Iqbal lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails