Sunday, October 19, 2014

Pesara jelaskan sebab beliau letak selipar di atas gambar Najib..


Tentu ramai yang tertanya-tanya kenapakah lelaki ini kelihatan marah sekali hingga sanggup meletakkan selipar kepada gambar Najib..

Tindakannya itu boleh ditakrifkan sebagai satu perbuatan biadap kerana meletakkan selipar kepada gambar pemimpin negara..

Tapi tentu ada sebabnya beliau berkelakuan begitu dan ini bukanlah yang pertama kali dilakukannya malah sudah kali ke dua..

Berikut adalah penjelasan beliau mengenai perbuatannya itu..

Pesara M Krishnan seorang lelaki yang marah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN)....

Dan kemarahan membuak-buak inilah yang mendorongnya meletakkan selipar di atas wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di satu poster semasa membuat protes terkini terhadap pemotongan subsidi bahan api di luar bangunan Parlimen minggu lalu.

Dia kemudian ditangkap kerana perbuatan itu.

"Kehadiran saya hari itu tidak ada kena mengena dengan pemotongan subsidi. Saya marah dengan kerajaan, mereka melakukan sesuatu yang salah, mereka menyalahguna undang-undang kerana mereka tidak memahaminya, mereka menjadi bahan lawak dunia, dan saya mahu mereka tahu itu," kata Krishnan kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur minggu ini.

Kisah Krishnan adalah cerita tentang kekecewaan terhadap sistem penyampaian awam yang dialami golongan berpendapatan rendah sepertinya.

Beliau bergantung kepada pembayaran Perkeso untuk hidup, mengalami kecederaan di tempat kerja, dan tinggal di rumah kos rendah awam di mana suasananya memeritkan.

Gambar dia memegang selipar di atas muka Najib dalam poster itu diterbitkan di Facebook melalui laman "Friends of BN - Barisan Nasional".

Kerana tindakan itu, bekas pengendali kren berusia 56 tahun itu ditahan.

Tetapi ia bukan kali pertama. Dia membuat tindakan yang sama bulan Mei lalu ekoran kerosakan pada flat kos rendahnya, dan berkata akan melakukannya sekali lagi.

"Saya melakukannya berkali-kali sebelum ini dan saya sudahpun ditahan kerananya, tetapi saya akan melakukannya sekali lagi dan sekali lagi sehingga mereka dapat mesej bahawa kita ingin dilayan sama rata sebagai warganegara," kata Krishnan.

Penangkapan terbarunya pada 11 Oktober, tiga hari setelah protes anti kenaikan harga minyak dibuat di luar Parlimen. Putrajaya mengurangkan subsidi minyak pada 2 Oktober, menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Krishnan ditahan lebih 24 jam kerana polis mahu menyiasatnya atas penghinaan yang disengajakan dengan niat membuat provokasi terhadap keamanan dan ugutan jenayah. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Kisah kekecewaannya terhadap Putrajaya bermula sejak zaman kanak-kanak lagi, dia seorang yang tidak bernegara, dilucutkan kewarganegaraan, sehingga umur 12 tahun.

Sejak itu, setiap sedikit "kesalahan" atau "ketidakadilan" oleh Putrajaya memberi kesan mendalam terhadap Krishnan, yang lahir di Kajang, Selangor, termasuk fakta bahawa dia disenaraikan sebagai "keturunan India" dalam dokumen rasminya.

"Mengapa saya 'keturunan India'? Saya tidak dilahirkan di India.

"Saya mahu dikenali sebagai keturunan bangsa Malaysia, saya orang Malaysia," katanya yang fasih bercakap dalam Bahasa Melayu.

Berikutan berita penangkapannya, penasihat DAP Lim Kit Siang mempersoalkan sistem keadilan yang menyebabkan Krishnan ditangkap hanya kerana meletakkan selipar di atas gambar Najib.

Krishnan bagaimanapun, tetap berdegil, "Saya menolak menandatangani kenyataan 112 di balai polis kerana ia ditulis dalam bahasa Melayu, jika saya 'keturunan India', maka ia harus sekurang-kurangnya ditulis dalam Bahasa Tamil, lagipun ia satu-satunya bahasa yang saya boleh baca sebenarnya," katanya.

Katanya, dia tidak fikir dia perlukan seorang peguam, kerana dia mampu bercakap untuk dirinya sendiri dan menyedari hak-hak di bawah undang-undang.

"Saya tidak takut, saya tahu hak saya, jika mereka mendakwa saya, saya tahu mereka menyalahguna undang-undang dan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap undang-undang.

"Saya didaftarkan sebagai OKU (orang kurang upaya). Oleh itu saya dilindungi oleh Agong," kata Krishnan yang mengalami kemalangan semasa bekerja sebagai operator kren.

Dia berkata kehadirannya di protes terhadap pemotongan subsidi minyak adalah untuk menghantar mesej kepada kerajaan – bahawa Perlembagaan dan Rukunegara melindungi warganegara Malaysia dan Putrajaya salah kerana menyalahgunakan hak rakyat.

Krishnan menegaskan bahawa dia bukan ahli mana-mana parti politik, tetapi bersimpati terhadap Hindu Rights Action Force (Hindraf), yang hilang relevansinya selepas bertelagah sesama sendiri.

Selama direman baru-baru ini, Krishnan memberitahu ketiga-tiga anaknya yang sudah dewasa dia ditahan tetapi memberitahu mereka agar tidak mengunjunginya.

"Saya tidak mahu mereka menyokong saya secara terbuka atau dikaitkan dengan saya kerana saya tidak mahu pihak berkuasa pergi mencari mereka pula," kata Krishnan yang tinggal seorang diri di flat kos rendahnya di PPR Sri Alam, Sungai Besi.

Dia juga tidak bergaul rapat dengan jiran-jirannya kerana "reputasi"nya yang selalu menyertai protes.

"Saya tidak mahu mereka merasa tidak selesa apabila bergaul dengan saya, jadi saya hanya terus bersendirian sahaja," katanya.

Dia kerap menghadiri perhimpunan protes setelah mengetahui mengenainya dalam akhbar Tamil, terutama Malaysia Nanban.

Untuk sumber pendapatan rendah dan berbelanja kecil sepertinya, cukup untuk beliau membuat protes secara tetap.

Sebagai contoh, dia selalu berulang-alik ke pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi melaporkan kecacatan pada flat kos rendahnya itu sejak pertama kali menerima kunci tiga tahun lalu. Namun tidak ada penyelesaian terhadapnya.

"Mereka datang dan mengambil gambar dan kemudian saya tidak dengar apa-apa dari mereka, apa jenis pentadbiran itu?

"Saya juga mempunyai surat daripada Datuk M Saravanan (bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan) yang mencadangkan agar saya diberikan satu unit rumah gantian tetapi mereka rasanya tidak mahu memenuhinya," katanya.

Ini juga puncanya Krishnan melakukan aksi membaling selipar yang sama pada Mei tahun ini.

Sebagai pihak yang bergantung kepada bayaran Perkeso setiap bulan, kata Krishnan, dia sepatutnya menerima RM1,100 setiap bulan kerana gajinya sebanyak RM2,200 sebulan ketika bekerja sebagai operator kren sebelum cedera, tetapi Krishnan hanya menerima RM750 sekarang.

"Untuk semua kelemahan kerajaan yang terpaksa kita hadapi, tindakan membaling selipar saya adalah sumbangan saya untuk negara ini, untuk anak-anak saya dan anak-anak mereka yang akan datang.

"Kita perlu menghantar mesej yang kuat kepada kerajaan, dan ini adalah cara saya untuk berbuat demikian," katanya lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails