Monday, October 20, 2014

Patutlah rugi memanjang.. Nasi Lemak RM45, Telur ayam MAS beli RM8 sebiji..


Masih ingatkah lagi dengan kritikan Chef Wan tentang nasi lemak 'telanjang' yang disajikan oleh Malaysia Airline System Berhad pada awal tahun ini?

Kritikan itu dibuat oleh Chef Wan kerana syarikat penerbangan itu menyajikan nasi lemak dengan telur rebus separuh dan sambal, tanpa potongan timun, kacang dan ikan bilis seperti kebiasaan.

Chef Wan mendakwa MAS seperti tidak mengambil peduli terhadap sarapan rakyat Malaysia yang diagung-agungkan ke seluruh.

MAS kemudian menjawab kritikan itu memberitahu akan mempertingkatkan hidangan tersebut.

Namun selepas lapan bulan, nampaknya hidangan itu menampilkan sedikit perubahan iaitu nasi lemak, telur kuning dan sambal udang. Kacang dan ikan bilis disediakan secara berasingan dalam bungkusan plastik kecil.

Kali ini MalaysiaGazette tidak mahu mengulas mengenai sajian itu kerana difahamkan nasi lemak yang disajikan itu dibeli berdasarkan kemampuan poket MAS.

Seorang kakitangan syarikat penerbangan itu mendakwa, MAS bukan tidak boleh menyediakan sajian yang lebih baik tetapi tidak mampu.

"Kalau hendak tahu nasi lemak yang dihidangkan dalam pesawat MAS berharga RM45," dakwa kakitangan itu kepada MalaysiaGazette yang bertanyakan mengenai sajian nasi lemak itu.

Wartawan dan jurugambar MalaysiaGazette diberikan sajian nasi lemak itu ketika dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam baru-baru ini.

Kakitangan MAS itu memberitahu, sajian nasi lemak sering dipertikaikan khususnya oleh penumpang tempatan, lantaran itu mereka lebih suka menawarkan roti dan omelette sahaja, selain rasanya lebih enak.

"Sejujurnya kalau ada penumpang yang tanya mana yang sedap, saya akan cadangkan penumpang memilih omelette.

"Kalau beri nasi lemak kepada penumpang yang cerewet, macam-macam yang tidak puas hati dengan hidangan itu," tambahnya.

Malah, beliau mendakwa, harga sebiji telur yang dibeli oleh MAS pada harga RM8.

Tambah kakitangan itu, kalau awal tahun ini, hanya nasi lemak, telur dan sambal ikan bilis tetapi sekarang ditingkatkan dengan sambal udang, telur serta ikan bilis dan kacang.

"Itu sahaja kemampuan MAS yang ada," katanya.

Sementara itu, sumber dalaman MAS ketika diminta mengulas harga makanan yang sangat tinggi terpaksa dibeli oleh MAS, beliau berkata: " Ia adalah salah satu faktor kakitangan MAS marah dengan penjualan MASCatering dulu.

"Tapi siapa yang mahu mendengar rayuan kakitangan MAS, sekarang inilah akibatnya," jawabnya ringkas ~ MalaysiaGazette

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails