Wednesday, October 22, 2014

Nak agih baucar 'Jom Shopping Deepavali' pun pilih kroni ke?


Kira-kira 100 masyarakat India berkumpul di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Sabak bagi melahirkan kekecewaan mereka berhubung pengagihan baucar Jom Shopping Deepavali yang didakwa tidak diagihkan secara adil kepada golongan memerlukan.

S Ramesh, 37, berkata, dalam kemeriahan untuk menyambut Deepavali hari ini, dia yang sememangnya mengharapkan bantuan itu amat kecewa apabila tidak menerima baucar itu sepertimana yang dinikmati rakan lain.

Menurutnya, sehingga kini dia masih tidak menerima baucar itu dan menyifatkan bantuan itu tidak diagihkan secara adil kepada golongan memerlukan tambahan pula dalam keadaan rakyat dibebani dengan kos sara hidup tinggi.

“Memang setiap kali Deepavali, kerajaan negeri akan memberi baucar kepada penduduk, namun malangnya pada tahun ini nama saya tak tersenarai sebagai penerima bantuan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

R Kanna, 32, berkata, dia juga kesal apabila tidak menerima bantuan itu sedangkan difahamkan terdapat lebih daripada satu keluarga yang tinggal sebumbung bersama ibu bapa mereka menerima baucar berkenaan.

“Inilah masalah yang kami hadapi tiap-tiap tahun, sebenarnya pemberian baucar ini kalau diagihkan secara adil tak apa, tapi malangnya ada beberapa keluarga miskin yang tercicir daripada menerima baucar ini,” katanya.

Megaswary Munisamy, 27, berkata, PKM Sabak diharap dapat mengatasi masalah itu segera memandangkan sebelum ini juga masalah sama timbul setiap kali baucar ini diagihkan kepada penduduk berkenaan.

“Nilai RM100 amat besar ertinya bagi kami sekeluarga. Kami memang merancang untuk membuat persiapan dengan menggunakan wang ini, namun segalanya musnah apabila kami terpinggir daripada menikmati bantuan kerajaan negeri,” katanya.

Ketua Komuniti Kaum India (KKI) Dun Sabak M Veerappan berkata, masalah itu timbul berikutan PKM Sabak mengagihkan baucar itu kepada tiga individu untuk diserahkan kepada kaum berkenaan.

Katanya, beliau hanya menerima sebanyak 120 baucar, sementara 150 lagi diserahkan kepada seorang wakil penyokong Pas Dun Sabak dan sebanyak 30 lagi diberi tanggungjawab kepada seorang individu India ahli PKR.

“Saya akui bahawa masalah ini berlaku sejak tahun 2008 lagi dan ia masih tak ada jalan penyelesaian dan kita sebenarnya kesal apabila terdapat tiga wakil semata-mata untuk menyerahkan baucar ini,” katanya.

Menurutnya, jika tahun lalu, PKM Sabak menyediakan hamper untuk diagihkan kepada kaum India yang tidak menerima baucar bagi menangani masalah itu, namun pada tahun ini mereka langsung tidak menerima apa-apa bentuk bantuan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri disaran supaya membuat bancian menyeluruh tentang pemberian baucar itu seperti melihat kepadatan penduduk di setiap Dun agar rakyat susah dapat diberi bantuan dengan sewajarnya.

“Setiap Dun diperuntukkan 300 baucar tapi Dun Sabak misalnya terdapat 340 keluarga dan jumlah baucar ini perlu ditambah dengan mengurangkan baucar di Dun lain seperti di Dun Sungai Air Tawar yang mendapat 300 baucar sedangkan hanya seramai 80 keluarga sahaja di Dun itu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan pimpinan menteri besar baharu, Mohamed Azmin Ali dapat menambah nilai baucar itu pada kadar munasabah selari dengan kos sara hidup dan peningkatan harga petrol dan diesel.

“Kerajaan perlu nilai semula jumlah baucar RM100 ini dan kalau boleh dinaikkan bagi mengurangkan beban hidup rakyat miskin di negeri ini,” katanya lapor Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails