Saturday, October 4, 2014

Jawapan standard Menteri bila petrol, diesel dinaikkan harga..


Setiap kali harga subsidi petrol minyak dan diesel dikurangkan, jawapan standard yang dikeluarkan menteri adalah, “kita minta peniaga jangan naikkan harga barang”, “tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang menaikkan harga barang” dan “kerajaan akan pantau harga ikan dan ayam agar tidak dinaikkan”.

Terbaru selepas harga petrol RON 95 meningkat kepada RM2.30 seliter daripada RM2.10 dan diesel meningkat kepada RM2.20 daripada RM2, jawapan yang sama kita dengari daripada mulut menteri berkaitan.

Semalam Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui jawatankuasa kos sara hidup bagi memantau kenaikan harga barang.

Menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata, ia bagi memastikan kepentingan golongan petani dan juga pengguna tidak terjejas susulan kenaikan harga minyak.

“Kalau letak harga barang terlampau rendah, petani akan terjejas. Namun, kalau dinaikkan harga kesannya akan dirasai pengguna pula.

“Oleh itu, kita sentiasa berbincang dengan KPDNKK untuk seimbangkan kepentingan kedua-duanya. Kita mahu kedua-duanya dapat keuntungan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Ismail berkata, kementeriannya akan memantau harga ikan di seluruh negara berikutan kenaikan harga petrol dan diesel yang berlaku akibat pengurangan subsidi bahan bakar berkenaan.

"Pemantauan di Pasar Tani Khas Hari Raya Aidiladha di sini (Putrajaya) juga mendapati pengurangan subsidi diesel belum memberi kesan kepada harga ikan.

"Namun berdasarkan pengalaman sebelum ini, berlaku kenaikan harga ikan antara 8 hingga 13%," katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, walaupun kerajaan mengurangkan subsidi petrol dan diesel, rakyat masih menikmati subsidi tepung, gas memasak, minyak masak, kesihatan, perubatan, pendidikan, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kedai Rakyat 1Malaysia dan lain-lain.

Hasan berkata, sebanyak 1,800 anggota penguatkuasa digerakkan ke seluruh negara untuk bertindak terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan tindakan mengurangkan subsidi harga minyak yang dibuat kerajaan.

Kenyataan seperti ini yang sering diberikan menteri setiap kali kenaikan harga bahan bakar seperti petrol dan disel berlaku akibat pengurangan subsidi.

Sedangkan realitinya kenaikan harga petrol dan diesel sudah tentu memberikan kesan berantai dan golongan peniaga akan menanggung kenaikan kos yang akan dipindahkan kepada pengguna.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempersoalkan rasional pengurangan subsidi petrol dan diesel dilakukan kerajaan ketika trend harga minyak dunia mengalami penurunan.

Pemimpin PAS itu berkata, beliau hairan mengapa Malaysia tetap mengurangkan harga bahan api walaupun dikenali sebagai negara pengeluar dan penyimpan minyak utama di Asia Tenggara.

“Saya merasa musykil dengan kenaikan harga bahan api yang dilakukan pihak kerajaan semalam (Khamis) sedangkan beberapa hari yang lalu, harga minyak West Texas Intermediate (WTI) mengalami penurunan 4% susulan daripada penurunan sebanyak 3.3% pada awal minggu lepas. Trend penurunan harga minyak juga berlaku di beberapa negara yang lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

“Ditambah lagi dengan perlaksanaan GST yang turut akan memberi kesan kepada kenaikan inflasi kelak. Ini akan menyebabkan beban kewangan rakyat terus bertambah dan kerajaan terus memekakkan diri,” katanya.

Daripada terus memberikan jawapan yang “menyakitkan” hati rakyat, adalah lebih baik kerajaan menerangkan kepada rakyat tentang kedudukan kewangan negara.

 

Tetapi, setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan, kita akan lihat bagaimana wang pembayar cukai dibazirkan dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan.

Jika kerajaan sendiri tidak berusaha untuk menjaga wang pembayar cukai dan rezab negara, salahkah jika rakyat marah dengan kenaikan harga petrol dan diesel yang sudah pasti akan membebankan kehidupan mereka?


Oleh AMIN ISKANDAR

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails