Friday, October 10, 2014

Henti segera telefilem Saloma dan mohon maaf – Waris AR Tompel


Waris Allahyarham AR Tompel hari ini tampil menuntut agar tayangan telefilem biopik Saloma terbitan Kus Semangat Aktor di Astro First dihentikan serta-merta.

Anaknya, Adlin Aman Ramlie berkata, selain tuntutan itu, keluarga waris Allahyarham juga mengemukakan tuntutan permohonan maaf daripada pihak yang menyiarkan telefilem tersebut.

"Kami mahu siaran telefilem biopik Saloma dihentikan serta merta. Kita juga berharap pihak mereka menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada kami.

"Selain itu kita buka juga proses rundingan untuk bertemu dan berbincang. Tapi jika cara ini tidak mampu menghentikannya kita terpaksa guna saluran mahkamah juga.

"Kita tidak mahu hal ini sampai dibawa ke mahkamah. Tetapi peringatan sudah diberikan namun diabaikan. Kita mahu perhatian serius mereka," katanya pada sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada petang ini.

Waris keluarga arwah yang turut hadir adalah isteri AR Tompel, Ruminah Sidek, AR Badul, Amran Tompel dan Datuk Zainal Abidin yang bertindak sebagai pemerhati.

Menurut Adlin, sidang media itu diadakan bukan bertujuan untuk mengeruhkan keadaan atau mencetuskan sensasi sebaliknya mahu menuntut hak serta menjaga maruah.

Dia berkata, terdapat 29 babak yang menggambarkan AR Tompel sebagai watak hitam yang sangat kejam.

"Telefilem ini terutamanya episod pertama Mencuri Guruh sangat prejudis dan berat sebelah kepada arwah bapa saya. Arwah bapa diekploitasi dalam pelbagai cara yang menjatuhkan reputasi dan kredibilitinya.

"Ada babak arwah yang diada-adakan hingga dianggap seperti fitnah. Ada yang direka serta ditokok tambah. Kami benar-benar tersinggung dan sedih hati dengan hal ini," katanya.

Adlin berkata, ketika peringkat penggambaran berlangsung lagi, pihaknya sudah menghubungi pihak penerbit dan penyiar tetapi tidak diendahkan.

"Kami terbuka untuk terbabit secara tak langsung atau bersedia memberi pendapat terutamanya berkaitan watak arwah. Tapi hak kami yang berhak diketepikan dan dinafikan.

"Dua kali saya dipanggil untuk menonton telefilem itu sebelum disiarkan, tetapi dua kali itu juga ia dibatalkan," katanya.

Sementara itu, peguam yang dilantik keluarga waris arwah dari syarikat Azam & Co, Mohd Khairul Azam menjelaskan notis tuntutan sudah dikeluarkan pada 26 September lalu tetapi hanya dibalas semalam oleh Astro.

AR Tompel atau nama sebenarnya Aman Ramli Jaafar meninggal dunia pada 30 Januari 1973 selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya di Setapak, Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di sini. - MalaysiaGazette

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails