Wednesday, October 8, 2014

Guan Eng mahu Ahli PAS yang menentang PR blah dan jangan jadi “talam dua muka”..


Di saat Pakatan Rakyat (PR) membasuh luka akibat krisis menteri besar Selangor, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dengan terus terang meminta ahli PAS yang menentang pakatan itu – menunjukkan diri, dan jangan menjadi “talam dua muka”.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang, turut teruji dalam kerajaan negerinya apabila PAS Pulau Pinang cuba memperbaiki hubungan dengan pentadbirannya berikutan kritikan yang dilempar seorang ahli majlisnya.

Beliau berkata, perlu jelas siapa ahli PAS yang menentang kerjasama dengan PR bagi memudahkan gabungan pembangkang itu tahu dengan siapa mereka boleh bekerja dalam perjuangan menentang Barisan Nasional (BN).

“Ada dalam PAS yang mahu bersatu bersama PR. Ada yang tidak mahu.

“Kita hanya boleh bekerja dengan mereka yang mahu bersatu dengan PR.

“Saya rasa kita perlu ada pencerahan ini. Mereka perlu jelas pendirian mereka,” katanya dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider di pejabatnya di George Town.

Lim berkata, ada pemimpin PAS yang menyokong kerjasama dengan PR untuk menawan Putrajaya.

Bagaimanapun beberapa insiden terbaru seperti krisis menteri besar Selangor dan Muktamar PAS bulan lalu mendedahkan ada sebahagian pemimpin dan ahli PAS yang mempersoalkan sama ada kerjasama politik itu atau tahaluf siyasi, berbaloi untuk menjejaskan idea Islamik PAS.

Lim mendesak supaya kesetiaan terhadap PR ditunjukkan dengan jelas ketika ditanya sama ada pembangkang boleh diteruskan susulan perselisihan antara kepimpinan PAS dengan DAP dan PKR mengenai pilihan menteri besar Selangor.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak pilihan DAP dan PKR yang mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dan pada muktamar PAS ke-60 di Johor baru-baru ini, ada pemimpin dan perwakilan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap PKR dan DAP, dengan ada di antara mereka menyuarakan kemungkinan mengkaji semula ikatan dalam gabungan itu.

Pemimpin lain yang bercakap mengenai sokongan terhadap kerjasama dengan PR pula diejek.

PAS sendiri sekian lama bertarung dengan idea untuk memihak kepada Umno, parti yang menerajui kerajaan persekutuan BN. Topik “perbincangan bersatu” antara PAS dan Umno sering ditimbulkan dari masa ke semasa dalam parti Islam itu.

Lim berkata, sesiapa yang mahu bekerja dengan “orang lain di luar kerjasama” ada pilihan untuk berbuat demikian.

“Tetapi jangan jadi talam dua muka. Anda mahu bekerja dengan Umno, anda pergi dan kerja dengan Umno. Anda mahu kerja dengan PR, sila keluar dan tunjukkan keikhlasan anda mahu bekerja dengan PR,” katanya.

Beliau memberi amaran, alternatif kepada PR yang kukuh ialah kerajaan BN yang akan terus mendominasi.

“Dan kita tahu BN yang kuat dan PR yang lemah akan membawa bencana kepada rakyat,” katanya, memetik langkah kerajaan persekutuan memotong subsidi minyak baru-baru ini, dan berkata tindakan itu berlaku selepas krisis menteri besar Selangor dan kekalahan PAS kepada Umno dalam Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor.

“Saya rasa rakyat boleh lihat. BN yang lebih kuat bermakna kerajaan yang semakin menindas,” katanya.

Lim berkata, ini bukan pandangan peribadinya.

“Saya bukan bercakap sebagai setiausaha agung. Ini adalah keputusan parti,” katanya.

Lim berkata ada elemen dalam PAS Pulau Pinang yang menunjukkan mereka tidak berminat bekerjasama dengan PR.

“Anda tahu siapa anda,” katanya, tanpa mengulas panjang.

“Kita tidak boleh bekerja dengan mereka di dalam PAS yang menipu mengenai kerajaan negeri. Kita ada bukti hitam putih menunjukkan mereka menipu,” katanya.

Lim berkata Iszuree Ibrahim, ahli majlis PAS dalam Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), menipu mengenai kerajaan negeri dan menyebabkan beliau ditolak daripada semua jawatankuasa ahli majlis.

“Dia menipu mengenai kerajaan negeri PR. Dia buat serangan dan dia menipu,” katanya.

Iszuree, bendahari PAS negeri mengkritik kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung masalah tanah penduduk tempatan ketika berbahas di Muktamar PAS pada 19 September.

Ikatan antara PAS Pulau Pinang dan kerajaan negeri semakin goyah apabila rakan ahli majlis Iszuree dalam MPPP juga mahu beliau disingkirkan.

Satu delegasi yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bertemu Lim untuk memperbaiki ikatan antara mereka pada 2 Oktober.

Mujahid kemudiannya berkata, parti itu bertanggungjawab terhadap kritikan Iszuree.

Katanya, PAS mahu menyelesaikan perkara itu secara aman untuk memastikan PR kekal bersatu dan mampu mengekalkan kepercayaan rakyat.

Difahamkan Iszuree diminta memohon maaf secara umum terhadap kenyataannya itu.

Iszuree dalam ucapannya di Muktamar PAS itu membangkitkan permasalahan orang Melayu Pulau Pinang serta pengusiran penduduk kampung tradisional untuk pembangunan baru yang banyak berlaku di negeri itu.

Beliau berkata akar umbi mula bertanggapan pemimpin PR “pro-pemaju” berbanding mengambil berat terhadap kebajikan rakyat lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails