Monday, October 27, 2014

Empat kemungkinan yang Anwar akan hadapi esok..


Selepas tujuh bulan didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di persimpangan terakhir yang akan menentukan nasibnya.

Dalam prosiding selama dua hari bermula Selasa ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar ra­yuan Ketua Pembangkang itu untuk mengetepikan hukuman dan sa­bitan salah tersebut.

Selain rayuan Anwar, mahkamah akan mendengar rayuan balas pihak pendakwaan yang berusaha untuk menambah hukuman penjara tersebut.

Anwar, 67, dijatuhi hukuman penjara lima tahun setelah disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 29, oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan itu pada 9 Januari 2012.

Menurut Seksyen 94 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan serta-merta selepas selesai mendengar rayuan akhir Anwar itu atau menetapkan tarikh baharu untuk berbuat demikian.

Serta-merta atau tidak, Anwar mungkin mengharapkan tuah yang diperoleh pada 2 September 2004 apabila dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan daripada kes liwat pertama akan berulang semula.

Ini kerana, sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, tiada lagi ruang untuk Ahli Parlimen Permatang Pauh itu merayu dan beliau juga terpaksa melepaskan kerusi Parlimen yang disandangnya kini.

Mahkamah Persekutuan boleh sama ada:

- Melepas dan membebaskan Anwar daripada sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.
- Mengekalkan sabitan dan hukuman.
- Mengekalkan sabitan dan meminda hukuman penjara yang telah dijatuhkan (sama ada mengurangkan atau menambah tempoh pemenjaraan. Tempoh penjara maksimum bagi kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan ialah penjara 20 tahun dan sebat)
- Mengarahkan kes liwat itu dibicarakan semula.

Bagaimanapun, untuk mengarahkan kes liwat itu kembali dibicarakan di Mahkamah Tinggi bukanlah sesuatu yang mudah walaupun hal ini pernah berlaku dalam beberapa kes yang lain.

Untuk membolehkan sesebuah kes itu dibicarakan semula, Mahkamah Persekutuan perlu memastikan berlaku kesilapan yang sangat teruk dalam mentafsir sesuatu bukti dan kekhilafan dalam beban pembuktian (onus of proof).

Perlu diingatkan bahawa perbicaraan kes itu sendiri sebelum ini telah mengambil masa yang cukup panjang, bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya terpaksa dibicarakan sekali lagi.

Dari tempoh Anwar dituduh hingga hari pertama perbicaraan sahaja sudah mengambil masa hampir dua tahun.

Itu belum lagi ditambah dengan penangguhan demi penangguhan hampir 70 kali sepanjang perbicaraan berjalan atas pelbagai alasan dan permohonan.

Oleh itu, atas apa jua alasan, pendengaran rayuan yang ditetapkan Selasa dan Rabu ini akan memberi kesan kepada semua pihak tidak kira penyokong Anwar atau tidak, mahupun mereka yang langsung tidak ambil kisah mengenainya.

Anwar yang kini diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 ~ UTUSAN

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails