Monday, October 13, 2014

Annuar Musa ajak PAS sertai BN


Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata, PAS adalah tulang belakang kepada komponen parti dalam Pakatan Rakyat (PR) meskipun kemelut menteri besar Selangor sebelum ini menyaksikan parti Islam itu bertelagah dengan DAP dan PKR.

Annuar berkata, lebih baik PAS bersama dengan Barisan Nasional (BN) daripada terus dibuli rakan-rakan dalam PR.

"PAS marilah duduk bersama BN," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

"PKR dan DAP buli PAS, turut buli bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mereka lupa kekuatan DAP dan PKR datang daripada PAS," katanya.

Kenyataan itu kemudiannya disambut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang bangun dan menegaskan PAS tidak akan "termakan umpan" yang dihulurkan Umno untuk menyertai BN.

"Ucapan Ketereh amat melucukan, macam nak cuba beri umpan. Beliau kata kita orang lama, minta maaf Ketereh, kita tidak termakan umpan," kata Khalid ketika membalas hujah daripada Annuar.

Annuar kemudiannya memuji PAS kerana mempunyai pendirian yang teguh meskipun diasak kepimpinan DAP dan PKR.

"PAS tidak akan hancur kerana mereka istiqamah dalam perjuangan mereka, yang hancur parti lain," kata Annuar.

Khalid kemudian bangun sekali lagi dan menegaskan kebersamaan PAS bersama PR berjaya menjadikan sokongan mereka meningkat sehingga 52% ketika pilihan raya umum 2013.

"Apa nak bangga sangat dengan 52%, kalau orang buli," kata Annuar.

"Saya tidak salahkan Shah Alam, beliau tidak tahu," kata pemimpin Umno itu.

Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini melalui akaun Facebook miliknya mengakui PAS menjadi mangsa buli DAP dan PKR rentetan isu di Selangor berhubung isu menteri besar dan pemecatan ahli majlis di Pulau Pinang baru-baru ini.

Anak Mursyidul Am PAS itu berkata, jika dahulu PAS mangsa buli Umno, sekarang mereka dibuli rakan sendiri dalam PR.

"Hari ini, selain Umno, PKR dan DAP mula hendak buli PAS.

"Sehinggakan PAS kelihatan seperti terpinga-pinga tidak tahu hendak sentuh yang mana satu. Semua macam tidak menjadi," katanya dalam tulisan akaun Facebook miliknya.

Pertelagahan PAS dengan rakan komponen PR semakin hangat apabila parti itu tetap menghantar lebih daripada satu nama calon menteri besar, sedangkan DAP dan PKR memutuskan mereka akan tetap menghantar nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengkehendaki parti pemerintah di Selangor itu menghantar lebih daripada satu nama calon untuk dilantik sebagai menteri besar.

Baginda kemudiannya memilih melantik Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor ~ The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails