Wednesday, October 8, 2014

Bebas atau Penjara.. 21 Hari lagi nasib Anwar akan diketahui..


Bukannya aku gembira sebab Anwar mungkin dipenjara tetapi sekadar untuk mengingatkan sesama ahli PKR di Permatang Pauh ini..

21 hari lagi nasib Anwar Ibrahim akan ditentukan oleh Mahkamah samada Anwar akan bebas atau akan dipenjarakan..

21 hari lagi ini juga akan diketahui samada akan berlaku satu lagi pilihanraya kecil di Permatang Pauh pula..

Sekali lagi kita akan berhadapan dengan jentera Barisan Nasional dari seluruh negara yang pasti akan dikerahkan untuk merampas Permatang Pauh dari PKR.

Jika berlaku lagi Pilihanraya Kecil, kemungkinan besar PKR Permatang Pauh akan menyaksikan jumlah majoriti yang semakin merosot sebagaimana kita telah menyaksikan kemerosotannya dalam PRU13 yang lalu.

Faktor sabotaj dari rakan sendiri masih tidak ada jalan penyelesaian malah bertambah buruk lagi keadaannya dengan berlakunya krisis MB Selangor baru-baru ini..

Aku yakin faktor ini akan bertambah buruk jika Calon yang dikatakan akan menggantikan tempat Anwar Ibrahim di Permatang Pauh masih mahu diteruskan pencalonannya.

Oleh itu bersedialah...

Ketika waktu berlalu menjelang rayuan terkhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan tuduhan liwat terhadapnya - satu kiraan detik telah bermula di laman Facebook ketua pembangkang itu - yang menurutnya, tinggal 21 hari lagi. 
Rayuannya dijadualkan untuk didengar selama dua hari, mulai 28 Oktober, di mana ahli parlimen Permatang Pauh itu akan mengetahui nasibnya sama ada akan menjalani hukuman penjara atau akan dibebaskan. 
Pada tahun 2004, Anwar dibebaskan daripada tuduhan liwat pertamanya oleh Mahkamah Persekutuan selepas menghabiskan masa enam tahun di dalam penjara. 
Kes Liwat II terhadap Anwar bermula sebaik selepas beliau mengumumkan hasratnya untuk bertanding kerusi Permatang Pauh pada Ogos 2008 selepas tamat tempoh larangan lima tahun berpolitik. 
Kerusi itu dikosongkan oleh isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 
Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara di Kuala Lumpur antara jam 3 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008. 
Seperti tuduhan yang pertama, Anwar mendakwa ia diada-adakan oleh musuh politik beliau. Namun beliau memenangi kerusi Permatang Pauh, kerusi yang disandangnya selama 17 tahun ketika beliau dalam Umno. 
Langkah Kajang 
Selepas empat tahun kes itu dibicarakan di mahkamah, dari tahun 2008 hingga awal 2012, yang menyaksikan 26 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Anwar telah dibebaskan. 
Bagaimanapun berikut Langkah Kajang di mana Anwar merancang untuk bertanding kerusi DUN Kajang dalam usaha untuk menjadi menteri besar Selangor pada awal tahun ini, rayuan pihak pendakwa terhadap rayuan sabitan kes Liwat II telah diawalkan dari tarikh asalnya pada April kepada bulan Mac. 
Dalam keputusanya, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya. 
Rayuan Anwar di Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini - adalah peluang terakhir beliau untuk mendapatkan kebebasan. 
Jika beliau terpaksa menjalani hukuman penuh selama lima tahun itu, maka ahli politik yang berumur 67 tahun itu akan berusia 72 tahun apabila beliau keluar penjara. 
Ditambah dengan tempoh larangan lima tahun berpolitik, ini mungkin menandakan berakhirnya kerjaya politik beliau ~ Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails