Friday, September 19, 2014

Ucapan Perwakilan PAS Pulau Pinang dibidas Pemuda DAP dan AMK Pulau Pinang..


Dalam membahaskan ucapan dasar Presiden PAS bertajuk "Terus Beristiqamah" - yang memasuki hari kedua - dalam Muktamar PAS di Batu Pahat hari ini, Perwakilan Pulau Pinang mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP itu lebih cenderung memihak kepada pemaju perumahan daripada membela nasib rakyat negeri itu.

Izuree Ibrahim mendakwa kerajaan negeri itu gagal menyedia dasar perumahan yang prorakyat dalam menangani masalah perumahan, sebaliknya lebih propemaju seperti yang diamalkan BN.

"PAS Pulau Pinang tidak menentang pembangunan pesat. Tetapi kita tidak bersetuju dengan pembangunan yang merugikan rakyat.

"PAS Pulau Pinang bimbang (situasi) terkini trend pemimpin (kerajaan negeri lebih) mesra pemaju daripada membela rakyat," katanya.

Menurutnya lagi harga sekaki tanah di Pulau Pinang kini mencecah antara RM300 hingga RM500 dan sebuah rumah kini mencecah jutaan ringgit.

"Itu tidak termasuk (pelaksanaan cukai) GST, ini akan membebankan rakyat," kata Izuree.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya PAS turut dilibatkan dalam proses merangka polisi perumahan di Pulau Pinang bagi mengemukan cadangan untuk pembangunan lestari di negeri itu.

Selain itu, beliau juga mengingatkan supaya kerajaan Pakatan Rakyat menghentikan sikap "menutup sebelah mata" mengenai isu perbandaran khususnya pembangunan melibatkan penduduk setempat di negeri itu.

Beliau juga mengingatkan supaya Pakatan membantu pertikaian penduduk di mahkamah apabila tuan tanah atau pemaju menuntut semula tanah yang mereka diami dalam tempoh yang lama.

Antara kampung terlibat, katanya, ialah Kampung Perda di Teluk Bahang, Kampung Mutiara di Batu Feringghi, Kampung Cik Ti, Kampung Pokok Asam di Jelutong, Kampung Batu Uban dan Kampung Bijai di Bayan Lepas dan Kampung Tok Suboh di Seberang Perai.

"Satu persatu perkampungan Islam dan bukan Islam menjadi mengalami pengusiran daripada menjadi mangsa di mahkamah," katanya.

"Cogan kata pakatan pembela rakyat perlu direalisasikan dan diperkasakan dengan tidak menunjukkan sikap serupa denga BN yang terlalu mesra dengan pemaju.

"Jika ciri-ciri ini sudah mula kelihatan sudah tentu rakyat menjadi mangsa kerakusan pemaju dan cogan kata tadi menjadi gimik politik semata-mata," katanya...

Bagaimanapun ucapan Izuree Ibrahim telah dibidas oleh Haris Zuan Ketua Pemuda DAP Bukit Benderadengan menganggap Izurie umpama musuh dalam selimut bagi Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Menurut Haris tuduhan yang dilemparkan oleh Izurie itu iaitu dasar pembangunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sama seperti UMNO adalah tidak berdasarkan fakta..

Saya berasa terkejut dan kesal apabila membaca kenyataan yang dibuat oleh Saudara Izuree Ibrahim ketika perbahasan dalam muktamar PAS di Batu Pahat hari ini yang menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal menyedia dasar perumahan yang pro-rakyat dalam menangani masalah perumahan, sebaliknya lebih pro-pemaju seperti yang diamalkan BN.

Sebagai salah seorang Ahli Majlis – pembuat dasar di peringkat kerajaan tempatan – di negeri ini, ucapan Saudara Izuree Ibrahim itu sangat membingungkan kerana jelas tidak bersandarkan fakta sebenar (yang beliau seharusnya maklum) dan menafikan segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang selama ini.

Pulau Pinang merupakan kerajaan negeri pertama di negara ini yang mewujudkan dana RM500 Juta untuk Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik bagi membina 20,000 unit oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Jumlah ini merupakan jumlah terbesar seumpamanya di negara ini. Saudara Izuree pastinya sedar, tidak seperti negeri BN yang lain, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menerima apa-apa pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan untuk perumahan awam atau mampu milik.
Malah Kerajaan Persekutuan hanya membina 70 unit PPR atau perumahan awam untuk golongan miskin di Pulau Pinang, bilangan terendah di negara ini.

Pembangunan pesat sejak tahun 2008 di Pulau Pinang setelah Pakatan Rakyat mengambil alih Pulau Pinang telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang dan pada masa sama telah melonjakkan harga hartanah di negeri ini yang secara tidak langsung meningkatkan harga hartanah.

Namun, Kerajaan Negeri sedar bahawa peningkatan nilai hartanah di negeri ini juga memberi kesan besar terhadap pemilikan rumah di negeri ini. Maka, bagi mengawal spekulas i hartanah kerajaan negeri telah melaksanakan kaedah perumahan baru yang berkuatkuasa pada 1 Feb 2014 yang mana antara lain, mengenakan larangan jualan 5 tahun pada perumahan mampu milik dan 10 tahun larangan jualan untuk perumahan awam (tertakluk kepada pengecualian bagi rayuan dalam kes-kes tertentu).

Malah sejak Julai 2012, bagi mengawal pembelian hartanah oleh warga asing, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menghadkan pembelian hartanah oleh warga asing kepada RM1 juta dan ke atas (RM2 juta bagi landed property) untuk meredakan spekulasi hartanah supaya harga rumah kekal berpatutan untuk golongan berpendapatan sederhana.
Sebagai langkah tambahan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencadangkan levi sebanyak 3% pada harga urus niaga hartanah di Pulau Pinang oleh warga asing bermula 2014. Tambahan pula, dasar baru juga menetapkan bahawa rumah mampu milik (bawah RM400,000 di Pulau) hanya boleh dibeli oleh orang yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri, manakala semua pembelian rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik dikenakan moratorium penjualan semula selama 10 tahun (kos rendah dan sederhana rendah) dan 5 tahun (mampu milik), bagi memastikan spekulasi hartanah tidak berlaku.

Siapa sebenarnya yang menindas rakyat?

Apakah Saudara Izuree tidak memperkirakan segala fakta ini sebelum membuat tohmahan bahawa dasar pembangunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini tiada bezanya dengan Barisan Nasional?
Pada masa yang sama, ucapan Saudara Izuree tidak menggambarkan situasi sebenar di negeri ini apabila langsung tidak menyebut berkenaan cadangan projek pemindahan pangkalan TUDM Butterworth yang jika direalisasikan akan menyebabkan 19 perkampungan serta pekan di kawasan sekitar Tasek Gelugor dan Kepala Batas di SPU lenyap, sekaligus mengubah demografi penduduk secara agresif. Apakah sikap dan solusi yang boleh ditawarkan oleh Saudara Izuree dalam isu ini?

Bagaimana pula dengan tindakan pemimpin UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan pengarah pilihan raya BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar yang menjadi broker dengan mengaut keuntungan peribadi sebanyak RM5 juta dalam tempoh tiga bulan sahaja hasil jualan 10 ekar tanah milik 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau, Pulau Pinang?
Mengapa UMNO yang membuat keuntungan jutaan ringgit atas hartanah di negeri ini tidak disentuh oleh Saudara Izuree tetapi sebaliknya menyerang Kerajaan Negeri?

Mengapakah Saudara Izuree tidak mengkhabarkan kepada dewan muktamar betapa banyak kes mahkamah antara pemaju dan penduduk yang cuba dibantu oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menjadi pemudahcara? Sebaliknya, Saudara Izuree menyebut mengenai projek pembangunan Batu Uban. Siapa disebalik projek pembangunan di Batu Uban?
Apakah Saudara Izuree mencadangkan agar Kerajaan Negeri melanggar perjanjian yang dibuat awal sebelum ini?

Sebagai rakan Ahli Majlis dalam MPPP, saya sentiasa cuba memahami segala kerisauan Saudara Izuree mengenai isu pemilikan rumah dan status kampung Melayu di negeri ini. Malah, saya antara yang menyokong kuat cadangan Saudara Izuree untuk mengadakan sesi taklimat khas oleh pakar kebudayaan dan warisan Melayu di peringkat kerajaan tempatan bagi membolehkan dasar yang lebih inklusif dapat dirangka bagi menjaga perkampungan warisan Melayu.

Namun, belum pun sempat taklimat ini diadakan, Saudara Izuree telah dengan semberono memfitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengamalkan dasar pembangunan ala BN. Saya tiada masalah jika Saudara Izuree mahu mencari populariti dalam muktamar, namun jangan sesekali mengkhianati persahabatan antara parti dalam Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dengan tidak berkata benar.

Saya khuatir, jika kenyataan ini tidak diperbetulkan, akan wujud tanggapan bahawa sikap Saudara Izuree ini umpama musuh dalam selimut.

Haris Zuan
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang
Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera

Manakala Naib Ketua AMK Pulau Pinang A.Kumaresan pula menyifatkan kenyataan Izurie itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang pemimpin dalam komponen PR lagi-lagi daripada Izuree kerana beliau juga merupakan seorang Ahli Majlis, di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Sepatutnya Izuree sebagai seorang Ahli Majlis sepatutnya lebih peka dan memahami tentang keadaan perkembangan dalam pasaran perumahan sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Kumaresan juga menggesa Izuree untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang kerana mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

Kenyataan Izuree Ibrahim YDP Pas Bayan Baru di muktamar Pas di Batu Pahat hari ini kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pro-rakyat dalam isu perumahan menunjukkan beliau tidak langsung mencerminkan polisi sebenar Kerajaan Negeri (KN) Pakatan Rakyat.

Kenyataan sebegini seharusnya tidak patut keluar daripada seorang pemimpin dalam komponen PR lagi-lagi daripada Izuree kerana beliau juga merupakan seorang Ahli Majlis, di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Sebagai pembuat dasar dalam Kerajaan Tempatan (PBT) Izuree sepatutnya lebih bijak dalam menilai segala dasar yang dibuat oleh PBT dan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat Pulau Pinang untuk memiliki rumah mampu milik.

Memang tidak dapat dinafikan harga hartanah di Pulau Pinang semakin meningkat, namun terdapat juga beberapa faktor yang menyebabkan harga hartanah ini meningkat dan antaranya adalah kerana kawasan yang ada semakin terhad.

Selain itu, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA ) kenaikan semua kos juga merupakan punca harga rumah kini melonjak tinggi.

Maka, tuduhan Izuree mendakwa KN Pulau Pinang kononnya pro pemaju dan gagal menangani masalah perumahan adalah satu tuduhan yang liar dan dibuat tanpa kajian yang mendalam dalam isu tersebut.

Izuree sebagai seorang Ahli Majlis sepatutnya lebih peka dan memahami tentang keadaan perkembangan dalam pasaran perumahan sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Saya amat kesal dengan tuduhan beliau kerana ianya mengambarkan seolah-olahnya KN tidak prihatin terhadap isu perumahan yang melibatkan rakyat Pulau Pinang. Malahan, KN melalui Perbadanan Pemajuan Pulau Pinang (PDC) telah mewujudkan dana RM500 juta untuk Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik bagi membina 20,000 unit rumah di kawasan Pulau dan Seberang Perai.

Antara projek terbaru rumah mampu milik adalah di Jalan SP Chelliah, Teluk Kumbar, Jelutong, Pintasan Cecil, Batu Kawan , Kampung Jawa, Mak Mandin, Ampang Jajar, Bukit Mertajam, dan Juru.

Selain itu, KN juga mengambil beberapa insiatif turun padang mendekati rakyat dengan program penerangan seperti "Road Show Mission Home Possible" yang akan diadakan di setiap kawasan Parlimen dan juga kaunter perkhidmatan yang dibuka 5 hari bekerja untuk borang permohonan dan khidmat nasihat kepada orang awam yang boleh dicapai di Tingkat 3, Komtar.

KN walaupun tidak mendapat sokongan dan bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan namun, KN tetap berikrar untuk membantu dan menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan yang memerlukannya.

Dengan ini, saya menggesa Izuree untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang kerana mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

A.Kumaresan
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang
Naib Ketua AMK Pulau Pinang

Hmmm.. Ahli Majlis rupanya dia.. tapi sayang jadi Ahli Majlis pun tak tahu dasar Kerajaan Negeri.. kalau macam tu jadi Ahli Majlis buat apa?

Letak jawatan sajalah.. menghabiskan duit rakyat untuk membayar elaun dia yang mencecah RM3000 sebulan tu saja....

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails