Friday, September 19, 2014

Perwakilan Pemuda PAS kena 'boo' sebab gesa PAS tolak jawatan MB.. (Video Inside)


Seorang perwakilan Pemuda PAS dicemuh apabila beliau dengan penuh semangat menyeru kepimpinan tertinggi parti menolak jawatan menteri besar Selangor sekiranya Sultan Selangor memilih pemimpin daripada PAS bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Insiden itu mencetuskan kekecohan petang ini apabila perwakilan dan pemerhati muktamar bangun dan menjerit "boo" kepada Mohd Sany Hamzah dan mengarahkannya berhenti berucap.

"Jika benar Sultan Selangor lantik menteri besar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS, Pemuda ingin menyarankan supaya kita tolak jawatan itu.

"Setuju semua? Sebab itu janji kita," katanya semasa membahaskan ucapan dasar presiden pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor hari ini.

"Setia kita dalam Pakatan Rakyat (PR). Sebab itu saya nak sebut, kalau mahu ambil kerusi menteri besar, tunggu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita sapu 20 kerusi di Selangor, kita jadi menteri besar," katanya dan mencetuskan kekecohan apabila disambut dengan "boo" oleh mereka yang hadir. 

Sany bagaimanapun tenang menerima bantahan dan berkata ia adalah pendirian sayap Pemuda PAS bersama PR.

"Tak apa, saya tidak ada masalah, itu pendirian Pemuda yang kita janji dan sepakati bersama dalam Pakatan," katanya.

Sany turut mempersoalkan peranan Jawatankuasa Disiplin PAS yang dilihat seperti tidak wujud kerana tiada sebarang tindakan diambil ketika ahli parti dan pimpinanannya melakukan kesalahan yang melanggar arahan kepimpinan pusat.

"Betul atau tidak kita ada Jawatankuasa Disiplin, jika ada timbullah, kita mahu mereka berperanan. 

"Berkaitan 2 Adun PAS di Selangor, kita tengok pelbagai tohmahan...ada kata pengkhianat, munafik," katanya, merujuk kepada dua Adun PAS yang menandatangani Akuan Bersumpah menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

"Kalau kita ada rasa tidak puas hati, ada benda ingin disampaikan, laporan perlu kita beri kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Jawatankuasa Disiplin.

"Biar mereka tentukan hukuman untuk diberikan kepada 2 Adun itu," katanya.

Sany turut mencadangkan agar PAS mewujudkan jawatankuasa pengurusan krisis yang mana bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan daripada parti apabila berlaku krisis dalaman PAS.

"Kita minta ini diwujudkan segera. Apabila ada isu, semua bercakap. Kita dihalakan mikrofon ini kita akan bercakap," katanya lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails