Tuesday, September 23, 2014

Cukuplah lagakan kami, kata Saari Sungib


ADUN Hulu Kelang Saari Sungib enggan memberikan sebarang komen berhubung pelantikan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, sebaliknya beliau meminta media memberi sedikit ruang kepada beliau dan rakannya, ADUN Morib Hasnul Baharuddin.

Katanya, selepas ini beliau mahu menumpukan perhatian dan fokus kepada kebajikan rakyat di kawasannya kerana perkara itu lebih penting.

"Tak payah komen lagilah, bagi (kami) damai sikit. Takkan nak timbulkan masalah saja. Setiap kali selepas ditemubual, saya akan dapat gelaran baru.

"Jadi boleh bagi ketenangan dan kedamaian kepada kami tak? Kami nak berkhidmat kepada rakyat, nak bantu orang susah. Jangan laga-lagakan kamilah (saya dan Hasnul dengan Pakatan). Boleh tak?" katanya.

Hari ini Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-15 di Istana Alam Shah, selepas sembilan bulan negeri itu dibelit kemelut pelantikan calon jawatan itu.

Azmin, 50, mendapat perkenan Sultan Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meletak jawatan selepas berhadapan masalah dalaman PKR hingga dipecat.

Beliau merupakan antara tiga calon yang disenarai pendek dan menghadap Sultan Selangor secara berasingan pada minggu lalu.

Selain Azmin, dua calon lagi adalah ADUN Chempaka, Iskandar Abdul Samad dan ADUN Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sebelum ini Saari dan Hasnul dikecam ahli dan pimpinan PAS setelah kedua-duanya bertindak membelakangi parti menyatakan sokongan terhadap pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Mereka dikecam kerana menandatangani Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) menyokong Azizah tanpa kebenaran parti. PAS Selangor kemudiannya memberi tempoh 24 jam kepada mereka untuk menarik balik sokongan mereka terhadap Wan Azizah atau bakal berdepan tindakan disiplin. 

Malah mereka turut digelar oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai “barua” kerana menyokong Azizah sebagai calon MB negeri itu lapor Antarapos

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails