Sunday, September 14, 2014

Calon Bebas dedahkan sebab bertanding di Pengkalan Kubor


Calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor kesal kerana semua parti politik di negara ini disifatkan 'cakap tak serupa bikin'.

Izat Bukhary Ismail Bukhary ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, banyak yang dibuat oleh parti-parti politik hari ini tidak pernah menjadi.

"Saya dicabar supaya masuk bertanding apabila ramai yang berkata saya jangan hanya pandai bercakap di belakang.

"Mereka ni semua akan menyokong saya jika saya berani menyahut cabaran untuk bertanding bagi memperbetulkan semua kelemahan yang dibuat oleh parti-parti politik di tanah air," katanya.

Sambil menunjukkan sebatang pen sebagai lambang kepada parti bebas yang dibawa, Izat Bukhari tetap mengharapkan kemenangan yang diluar jangkaan kepada dirinya.

"Saya tahu bukanlah mudah untuk saya menang di sini atau di mana-mana pilihan raya tetapi saya tidak boleh mengalah selagi belum mencuba.

"Tujuan saya bertanding adalah untuk menang dan jika takdir memihak kepada saya, rakyat akan menikmati lebih banyak pembangunan di Pengkalan Kubor kerana saya nampak banyak lagi yang boleh dimanfaatkan untuk rakyat," katanya.

Tegasnya lagi, walaupun tidak popular seperti calon BN dan Pas, namun dia mempunyai misi tersendiri untuk meyakinkan pengundi.

"Bagi saya, yang penting sekali pastikan perjuangan yang dibawa itu betul, jujur dan ikhlas.

"Kalau nak perjuangkan Islam, jangan langgar prinsip Islam dan kalau nak buat pembangunan, biarlah amanah dan telus," ujarnya. - MalaysiaGazette

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails