Friday, September 19, 2014

BERNAMA dedahkan nama calon MB Selangor yang baru...


Istana Selangor mengesahkan Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang dekat sini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi Bernama bagaimanapun enggan mendedahkan nama menteri besar yang baharu itu.

Beliau berkata perkara itu hanya akan diketahui pada hari mengangkat sumpah berkenaan.

Bernama difahamkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamad Azmin Ali dan Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad adalah calon yang dikatakan bakal mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.

Namun, ketika diminta mengulas perkara itu, Mohamad Munir enggan mengesahkannya.

Pada 26 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah supaya parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.

PKR dan DAP bagaimanapun kekal dengan keputusan mereka mahukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar yang baharu.

Tindakan kedua-dua parti berkenaan menyebabkan Sultan Selangor amat dukacita. Susulan kemurkaan baginda itu, PKR dan DAP baru-baru ini menyerahkan sepucuk surat kepada Istana Selangor.

Selain menghantar surat kedua yang tidak diketahui kandungannya itu, pada hari yang sama kedua-dua parti tersebut mengeluarkan kenyataan memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor.

Walaupun memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tetap mempertahankan tindakan kedua-dua parti itu berhubung calon mereka bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Krisis politik Selangor tercetus selepas 'Langkah Kajang' yang dimulakan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Mac lepas yang bertujuan menjadikan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun, hasrat Anwar terbantut selepas gagal menjadi calon kerusi DUN Kajang apabila mahkamah mendapati beliau bersalah atas pertuduhan liwatnya, lalu isterinya yang juga Presiden PKR bertanding dan memenangi kerusi DUN itu.

Pada 9 Ogos lepas, PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu dan merancang untuk mengangkat Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu. -- BERNAMA

Sementara itu Malaysiakini pula melaporkan..

Minggu depan, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mungkin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor, menggantikan seteru politiknya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Apabila PAS mula-mula mencadangkan namanya, di tengah-tengah spekulasi yang bertiup kencang bahawa istana tidak bersetuju dengan pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ada yang meramalkan yang tuah itu akan memihak kepada Azmin.

Malah Bernama, dalam laporannya mengenai majlis angkat sumpah jawatan menteri besar baru Selasa depan, juga menyebut Azmin mungkin pilihan istana tetapi setiausaha sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani enggan mengesahkan perkara itu.

Walaupun tidak mahu membuat spekulasi mengenai siapa yang akan bakal dilantik menerajui negeri ini, seorang pemerhati politik veteran yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan pihak istana, bersetuju bahawa Azmin mungkin calon terbaik untuk tugas tersebut.

"Satu perkara yang pasti, Wan Azizah tidak akan menjadi menteri Besar itu," katanya kepada Malaysiakini.

Pendirian PKR dan Anwar Ibrahim yang tetap bertegas untuk mengemukakan hanya nama Wan Azizah, dengan memetik konvensyen, telah dua kali tidak disenangi pihak istana.

Dalam teguran pertama, pihak istana menyifatkan PKR dan DAP sebagai engkar dan "merupakan perbuatan derhaka" kepada baginda.

Parti-parti tersebut kemudiannya telah memohon maaf.

Hari ini, istana sekali lagi menegur Anwar, dan mengingatkannya supaya tidak mencemarkan imej sultan dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai isu yang menteri Besar.

Hari ini, istana Selangor sekali lagi mengingatkan Anwar agar tidak membuat kenyataan yang mengelirukan masyarakat atau menjejaskan imej Sultan Selangor dalam isu calon menteri besar baru negeri itu.

Dan hari ini Anwar sekali ini memohon ampun daripada Sultan Selangor sekiranya ada kekhilafan yang berlaku.

Dengan dua teguran yang diikuti dengan pemohonan maaf kemudianya, ia dilihat 'berisiko' untuk Anwar menolak pilihan istana sekiranya sultan melantik Azmin.

Kebuntuan berhubung isu jawatan menteri Besar itu turut menegangkan hubungan dan menyebabkan berlaku perpecahan dalaman PAS.


..... Apapun ini hanyalah spekulasi.. kita tunggu sajalah Selasa ini...

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails